KUALA LUMPUR, Feb 6 (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia hari ini menerima pujian luar biasa daripada para majikan dan pekerja berhubung strategi proaktifnya bagi meminimumkan kesan kehilangan pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.
Kedua-dua organisasi yang mewakili para majikan dan pekerja bersetuju sebulat suara bahawa kementerian itu telah mengambil langkah positif bagi mengurangkan kesan ekonomi terhadap pasaran tenaga kerja tempatan.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan, berharap kementerian itu akan meneruskan usaha murni itu.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G.Rajasekaran berkata ini merupakan kali pertama kementerian meyakini kesatuan-kesatuan sekerja dan bekerjasama dengan mereka sejak kelembapan ekonomi pada 1988 dan 1998.
"Kami puas hati dengan sikap kementerian yang memberi perhatian terhadap pandangan kami dan bersikap telus dan terbuka dengan pihak kami," katanya.
MEF mewakili daripada 4,000 buah syarikat manakala MTUC mewakili lebih daripada 1.3 juta pekerja dalam sektor awam dan swasta.
Rajasegaran berkata kementerian juga kerap mengadakan perjumpaan di antara tiga pihak bagi menangani sebarang masalah.
"Ini merupakan apa yang kami perjuangkan selama ini dan amat gembira di atas perubahan sikap kementerian," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tenaga Kerja kementerian itu Datuk Ismail Abdul Rahim, apabila dimaklumkan mengenai pujian itu memberitahu Bernama:
"Saya merasa rendah diri dengan pujian itu dan sebenartnya saya patut katakan bahawa puji-pujian itu disebabkan hasil usaha rakan-rakan dan kakitangan terutama bos-bos saya, Menteri berkenaan Datuk Dr S.Subramaniam dan Ketua Setiausaha Datuk George Thomas."
Ismail berkata para pegawai dan kakitangan kementerian telah bekerja kuat bagi memastikan keharmonian industri dipertahankan dan tentang perlunya para majikan dan pekerja saling berjumpa.
Katanya beliau gembira kerana para majikan dan pekerja menghargai usaha kementerian dengan memberikan kerjasama mereka.
Ismail berkata kementerian itu telah mewujudkan pusat operasi di setiap negeri bagi memantau pemberhentian pekerja dan isu-isu berkaitan.
Katanya pusat itu bukan sahaja bagi memantau keadaan itu tetapi juga mencari penyelesaian wajar berhubung masalah yang dihadapi syarikat dan pekerja.
Beliau menasihatkan para pekerja yang berdepan dengan masalah di tempat kerja supaya melaporkannya ke pusat itu dan memberi jaminan para pegawainya akan membantu mereka.
Ismail juga berkata setakat 5 Feb, sebanyak 14,376 pekerja termasuk 5,200 warga asing terutama di sektor pembuatan telah diberhentikan dengan Johor mencatat jumlah tertinggi dengan 3,341 orang diikuti Sarawak dengan 1,949 pekerja diberhentikan.
Katanya sebahagian daripada pekerja terbabit telah diserapkan oleh kementerian itu bagi menjalani latihan di pelbagai institusi untuk dilatih semula selain meningkatkan kemahiran mereka.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment