Thursday, February 19, 2009

Tidak diserap automatik

PUTRAJAYA 18 Feb. – Pekerja sektor swasta yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi dunia perlu melalui prosedur pengambilan pekerja yang biasa jika mahu menyertai sektor awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, walaupun kerajaan bersetuju supaya pekerja tersebut diberi peluang mengisi kekosongan jawatan dalam sektor awam, mereka bagaimanapun perlu diuji sebelum diterima.

Menurutnya, peraturan sama terpakai kepada pekerja-pekerja kontrak dalam sektor awam yang ingin menjadi pegawai tetap dalam sektor awam.

‘‘Pengambilan ini bukannya secara automatik, mereka sepatutnya memohon berdasarkan kelayakan dan pengalaman.

‘‘Saya cadangkan mereka melayari laman web JobsMalaysia kelolaan Kementerian Sumber Manusia atau laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Bengkel Pengurusan Perwakilan dan Agensi Kerajaan Lain di Luar Negeri Berdasarkan Konsep Organisasi Bersepadu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan cadangan supaya 20,000 kekosongan jawatan dalam sektor awam diisi oleh pekerja-pekerja industri yang diberhentikan.

Beliau berkata, Jabatan Tenaga Rakyat akan menyelaras dan mencari mekanisme bagi membolehkan pekerja industri mengisi jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, 20,000 kekosongan tersebut hanya melibatkan pekerjaan di peringkat perkeranian yang mungkin bersesuaian dengan pekerja sektor swasta yang diberhentikan.

‘‘Ini tidak akan menjejaskan peluang graduan-graduan universiti untuk mendapatkan pekerjaan kerana masih banyak kekosongan dalam sektor awam seperti doktor, guru dan polis,” katanya.

Utusan Online

No comments: