KOTA KINABALU 15 Feb. - Semua kakitangan di Jabatan Ketua Menteri (JKM) perlu mempamerkan sikap bekerja yang baik dan proaktif supaya ia dapat menjadi contoh kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri yang lain.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sebagai sebuah jabatan kerajaan yang paling penting, JKM perlu menjadi contoh kepada jabatan dan agensi-agensi lain.
"Saya juga ingin menekankan di sini bahawa apa juga dasar dan polisi baru yang boleh menjadikan warga JKM terbaik, ia perlu dilaksanakan segera supaya jabatan ini terus menjadi terbaik di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis makan malam bersama kakitangan JKM di Hotel Pacific Sutera di sini semalam.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman; timbalannya, Datuk Maznah Abdul Ghani dan ketua-ketua jabatan di bawah JKM.
Musa berkata, warga JKM perlu menjalankan tugas berdasarkan prosedur yang telah ditetap bagi memastikan kualiti kerja sentiasa dipelihara.
Katanya, keupayaan seseorang petugas mematuhi prosedur kerja merupakan satu pencapaian yang perlu dijadikan amalan dan kebanggaan semua pihak.
Dalam pada itu, Musa menambah, JKM perlu memberikan tumpuan dalam pembentukan pegawai-pegawai muda yang berkaliber bagi menyediakan generasi pelapis kepada pemimpin masa depan.
"Saya percaya, JKM memiliki ramai pegawai muda yang berketerampilan dan berwibawa untuk diketengahkan sebagai pemimpin dalam perkhidmatan awam khususnya di JKM sendiri.
"Bagi menggalakkan wujudnya keadaan ini, program sedia ada dimantapkan lagi supaya pegawai muda kita benar-benar dibekalkan dengan ilmu kepimpinan yang mencukupi," katanya.
Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada kakitangan JKM yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang.
No comments:
Post a Comment