KUALA LUMPUR 21 Feb. - Kementerian Pengangkutan akan memperkenalkan sistem baru dengan memasangkan alat pengesan kelajuan automatik di zon kemalangan seluruh negara mulai tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, pelaksanaan sistem tersebut bertujuan untuk mengurangkan penyalahgunaan kuasa dan masalah rasuah yang sering mengaitkan pegawai penguatkuasaan.
Kata beliau, pihaknya tidak menafikan bahawa sering berlaku kes rasuah membabitkan pihak penguat kuasa ketika menjalankan tugas untuk menahan pemandu yang melanggar had kelajuan.
Menurutnya, ia adalah kerana melalui sistem perangkap laju dan sekatan jalan raya yang dilaksanakan sebelum ini, perbuatan rasuah berpotensi tinggi boleh berlaku.
"Melalui pelaksanaan sistem baru ini, gambar seseorang yang membawa kenderaan melebihi had tetap akan diambil oleh alat ini dan saman akan dihantar ke rumah masing-masing kemudian.
"Ini secara tidak langsung dapat menangani masalah rasuah yang sering berlaku dan meningkatkan efisien badan penguatkuasaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA Bahagian Titiwangsa di Taman Maluri di sini hari ini.
Turut hadir Bendahari Agung MCA, Senator Tan Sri Tee Hock Seng dan Pengerusi MCA Bahagian Titiwangsa, Datuk Alex Chuah Poh Khiang.
Menurut beliau, alat pengesan itu akan dipasang di zon-zon kemalangan seluruh negara secara berperingkat, berdasarkan kajian yang dikemukakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Jika berlaku sebarang pertikaian, gambar yang diambil oleh alat pengesan itu akan dijadikan sebagai bukti untuk dihadapkan di mahkamah," katanya.
Menjawab satu soalan, beliau memberitahu, sebanyak tiga pemimpin MCA akan dipilih sebagai senator baru untuk mengisi kekosongan dalam jawatan Ahli Dewan Negara itu.
"Keputusan tersebut dipersetujui oleh ahli Jawatankuasa Pusat pada mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.
"Namun, setakat ini tiada sebarang keputusan di mana siapa akan dilantik bagi memegang jawatan apa. Kesemuanya adalah spekulasi anda semua (media) sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment