Friday, February 6, 2009

Rasuah: Mahkamah kekalkan hukuman

PUTRAJAYA 5 Feb. - Dua pegawai kastam terpaksa menjalani hukuman penjara setahun bermula hari ini selain diperintah membayar penalti RM2,000 tiap seorang setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu kerana melakukan empat kesalahan rasuah melibatkan nilai suapan RM4,000.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Gopal Sri Ram memutuskan demikian terhadap Zainal Ismail, 46, dan Tubari Japri, 51, selepas membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor yang membebaskan mereka.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Heliliah Mohd.Yusuf dan Hakim Datuk Sulong Matjeraie memutuskan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang mensabitkan mereka dan mengenakan hukuman penjara setahun dan denda berjumlah RM4,000.

Pada asalnya, Zainal dan Tubari dan seorang lagi pegawai kastam, Mohd. Aniza Abu Bakar (kini meninggal dunia) didakwa bersama-sama atas dua tuduhan memujuk rayu suapan dan dua tuduhan menerima rasuah.

Mereka merupakan Pembantu Penguasa Kastam yang bertugas di Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja, Johor Bahru ketika kejadian yang berlaku hampir 12 tahun lalu. Mereka digantung tugas bermula 28 Mac 2002.

Tuduhan pertama, Tubari dan Mohd. Aniza didakwa memujuk rayu untuk diri mereka suapan RM3,000 daripada seorang pemandu lori, P. Mageswaran supaya tindakan tidak diambil terhadapnya kerana dikatakan membawa barangan eksport yang tidak diisytiharkan.

Tuduhan kedua, ketiga-tiganya didakwa memujuk rayu pemilik barangan itu, Mohd. Azni Abdul Ghani suapan sebanyak RM10,000 supaya tindakan tidak diambil terhadapnya kerana dikatakan tidak mengisytiharkan barangan itu.

Tuduhan ketiga pula, ketiga-tiganya didakwa menerima RM3,000 daripada Mohd. Azni yang merupakan seorang warganegara Singapura supaya tindakan tidak diambil terhadapnya.

Tiga kesalahan didakwa dilakukan di antara pukul 1.30 petang dan 4.30 petang, 26 November 1997 di Kompleks Kastam Tanjung Puteri, Johor Bahru.

Tuduhan keempat, ketiga-tiganya didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Mohd. Azni pukul 9.30 malam, 27 November 1997 di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru.

Kedua-duanya diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Rosli Kamaruddin manakala Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi mewakili pihak pendakwaan.

Hakim Sri Ram ketika membacakan keputusan itu antara lain berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tersilap ketika campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen kerana bukti keterangan yang dikemukakan cukup kukuh untuk mensabitkan mereka.

No comments: