Tuesday, June 7, 2011

1MDB tawar 500 biasiswa calon 8A+

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Pelajar gagal dapat JPA layak mohon

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menawarkan 500 biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang memperoleh 8A+, tetapi gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebanyak 300 biasiswa diperuntukkan kepada Bumiputera dan 200 untuk bukan Bumiputera bagi melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan. Bagaimanapun, kelonggaran khas diberikan kepada pemohon Bumiputera di Sabah dan Sarawak termasuk mempertimbangkan mereka yang memperoleh 6A+ dan 5A+ serta memenuhi syarat asas ditetapkan, termasuk pendapatan keluarga di bawah RM5,000 dan tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana jabatan dan agensi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pemegang biasiswa yang mengikuti kursus kritikal dan bukan kritikal di IPTA akan menerima RM7,500 setahun.

Bagi IPTS, pelajar yang mengikuti kursus kritikal termasuk perubatan, pergigian, farmasi dan perubatan veterinar akan menerima RM15,000 dan manakala kursus bukan kritikal memperoleh RM10,000.

“JPA akan mengadakan mesyuarat susulan mengenai perkara berkenaan hari ini, termasuk menilai pelajar yang layak dan senarainya akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum diumumkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat biasiswa 1MDB bersama wakil parti komponen Barisan Nasional di Parlimen, semalam.

Sementara itu, Mohamed Nazri, berkata kerajaan dakan mengambil tindakan terhadap 145 penerima biasiswa JPA yang gagal berkhidmat di tanah air di antara 2000 dan 31 Mei tahun ini.
Katanya, jumlah itu termasuk 97 orang dalam bidang perubatan, kejuruteraan (26), kimia (empat), pergigian (tiga), perakaunan (enam), undang-undang (dua), pentadbiran perniagaan (satu) dan bidang lain (empat).

Beliau berkata, majoriti penerima biasiswa yang ingkar adalah dalam bidang perubatan dan kejuruteraan yang mengikuti pengajian di United Kingdom, Ireland dan Amerika Syarikat.

“Kes itu sedang berjalan sama ada di peringkat memberi notis tuntutan atau prosiding mahkamah bagi mendapatkan penghakiman mengenai biasiswa serta penjamin dan mereka diarah membayar semula.

“Kita perlu kaji semula (pemberian biasiswa) dengan mengambil kira perkara ini,” katanya.



Berita Harian Online

No comments: