Thursday, June 9, 2011

Pesara guru terima RM30,896

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 9 Jun - Seorang pesara guru yang menghidap kanser payudara menerima sumbangan insurans berkelompok sebanyak RM30,896 daripada Persatuan Sukan, Kebudayaan, Perkhidmatan Pelajaran Kedah (PSKPPK).

Pesara terbabit, Sukri Prak Prom Keu, 59, menerima sumbangan itu hasil caruman RM30 sebulan kepada MCIS Zurich Insurance sejak 2006.

Sukri yang sudah berkhidmat dalam bidang perguruan selama 32 tahun sejak 1976 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 2008 memberitahu, dia mencarum dalam insurans itu biarpun sudah bersara tiga tahun lalu.

Katanya, dia gembira dengan sumbangan itu dan akan menggunakan wang tersebut untuk membuat rawatan berjadual kansernya yang mencecah RM560 sebulan.

"Saya ketika ini mengambil ubat tambahan dan menjalani radioterapi di hospital swasta di sini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan itu di pejabat Pelajaran Kedah di sini, semalam.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri yang juga Timbalan Yang Dipertua PSKPPK, Rooslee Ismail.

PSKPPK yang ditubuhkan pada 2004 ketika ini mempunyai 36,000 ahli dalam kalangan guru dan kakitangan awam seluruh Kedah.

Rooslee memberitahu, daripada jumlah tersebut, sekitar 2,000 ahli sahaja menyertai dua skim insurans yang ditawarkan iaitu secara konvensional dan Takaful Ikhlas.
Justeru, beliau menyeru agar lebih ramai ahli PSKPPK menyertai skim insurans berkelompok itu bagi meringankan beban ketika ditimpa kemalangan atau menghidap sebarang penyakit.

"Apa yang diperoleh penerima ini adalah banyak berbanding keseluruhan caruman yang dibuatnya lebih RM2,000.

"Menerusi sumbangan ini, ia mampu membantu penerima mendapatkan rawatan yang berkaitan," katanya.

Utusan Online

No comments: