Monday, June 6, 2011

500 pelajar JPA tidak pulang dalam tempoh 10 tahun

KUALA LUMPUR 6 Jun - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengesan seramai 500 pelajar tajaannya yang tidak pulang ke negara untuk berkhidmat selepas berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 10 tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 355 kes telah berjaya diselesaikan yang membabitkan pembayaran balik pinjaman dan juga pulang berkhidmat di negara ini.
Bagaimanapun katanya, baki 145 kes lagi belum dapat diselesaikan dengan sebahagiannya masih di peringkat permohonan notis dan prosiding mahkamah bagi tuntutan penghakiman terhadap pemegang biasiswa serta penjaminnya.

"Berdasarkan pada jumlah kes yang belum dapat diselesaikan itu, pelajar yang mengikuti kursus dalam bidang perubatan merupakan paling ramai tidak pulang berkhidmat iaitu seramai 97 orang.

"Pelajar kejuruteraan merupakan golongan kedua paling ramai tidak pulang iaitu 26 orang diikuti pelajar bidang perakaunan sebanyak enam orang, farmasi lima orang, bidang-bidang lain seramai empat orang, pergigian tiga orang dan undang-undang dua orang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sini hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, pihaknya juga akan mengkaji semula pemberian biasiswa ke luar negara memandangkan ramai penerimanya tidak mahu pulang setelah selesa belajar dan tinggal di luar negara.

"Kami telah mengenalpasti kebanyakan pelajar yang enggan pulang adalah mereka yang belajar di United Kingdom (UK), Ireland dan juga Amerika Syarikat (AS). Jadi kami sedang mempertimbangkan kewajaran menghantar pelajar ke negara berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kalau kita bantu beri biasiswa untuk mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi kemudian mereka enggan pulang berkhidmat atau membayar pinjaman, ia akan menyusahkan kita pula,'' ujarnya.

Menurut beliau, JPA juga sedang mengkaji keperluan penghantaran pelajar bidang perubatan ke luar negara memandangkan mereka merupakan kumpulan paling ramai yang tidak pulang ke negara.

Utusan Online

No comments: