Tuesday, June 7, 2011

Universiti tempatan pun hebat

SAYA semakin tertarik dengan isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang acap kali disebut oleh pelbagai pihak sejak akhir-akhir ini. Ada yang mempertikaikan mengenai kuotanya, relevansinya dalam menghantar pelajar cemerlang ke luar negara dan sebagainya.

Saya juga tambah tertarik dengan langkah yang akan diambil kerajaan dalam mengkaji semula dasar pembiayaan biasiswa JPA yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Lebih menarik lagi, keputusan kerajaan membiayai 86 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan dan bukannya di luar negara baru-baru ini.

Saya merupakan seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga merupakan pemegang biasiswa JPA. Satu ketika dahulu, impian saya sangat besar iaitu menyambung pelajaran ke luar negara kerana ketika itu saya melihat ia menjadi satu kebanggaan jika ada anak Melayu berjaya ke luar negara.

Impian ini nampaknya hampir tercapai apabila saya cemerlang dalam SPM. Setelah memohon, akhirnya saya hanya ditawarkan biasiswa di peringkat matrikulasi dan seterusnya disambung ke UiTM oleh pihak JPA.

Relevannya di sini adalah apa yang saya ingin kongsikan, saya tidak sesekali kecewa, tetapi saya bersyukur kerana berpeluang mendapat tempat di universiti tempatan.
Jangan sesekali pandang rendah pada kredibiliti dan keupayaan universiti tempatan. Sistem pendidikan di universiti tempatan jauh lebih baik daripada yang disangka.
Segala kemudahan, kredibiliti pensyarahnya dan keupayaan pelajarnya jangan usah diragui. Sistem pembelajarannya juga semakin meningkat dari sehari ke sehari malah semakin setaraf dengan universiti luar negara.

Segala garis panduan dan sasaran yang ditetapkan telah menyamai keperluan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa. Lihatlah setiap tahun, pasti ada pensyarah dan pelajar berjaya merangkul anugerah di peringkat antarabangsa hasil kreativiti dan inovasi mereka.

Mereka begitu komited dalam memastikan nama universiti tempatan terus berada di persada antarabangsa. Masih ketinggalankah universiti tempatan kita?

Bukanlah saya cuba mempertikaikan kerelevenan menghantar pelajar cemerlang ke luar negara atau merendah-rendahkan kemampuan universiti luar negara yang kita sedia maklum adalah yang terbaik. Bagi saya, itu adalah satu langkah yang sangat baik dalam memastikan pelajar berjaya menempuh cabaran dan bersaing di peringkat globalisasi.

Tahniah kepada mereka yang terpilih untuk menyambung pelajaran ke luar negara kerana itu adalah rezeki anda dan anda adalah terdiri dalam kalangan yang terpilih dan terbaik daripada yang terbaik.

Tetapi, mungkin juga ada baiknya langkah kerajaan untuk mengurangkan penghantaran pelajar cemerlang ke luar negara kerana kos perbelanjaan di sana yang semakin meningkat sehingga kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak kos untuk mereka.
Ada juga terlintas di fikiran saya, tidak salah dan ada baiknya jika kos yang berjaya dikurangkan itu digunakan dan diberi peluang kepada pelajar cemerlang lain untuk menyambung pelajaran mereka dalam negara.

Sesungguhnya, dengan saingan yang semakin kompetitif dalam kalangan pelajar ketika ini, ada relevannya kerajaan mementingkan kualiti lebih daripada kuantiti. Berilah peluang kepada pelajar luar bandar yang lain untuk merasai nikmat pendidikan di universiti tempatan.

Kepada pihak tertentu, hentikanlah daripada terus memainkan isu biasiswa ini kerana segala kuota dan peruntukan telah ditetapkan oleh kerajaan secara adil dan saksama berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Segala keistimewaan, keperluan dan kebajikan yang diperlukan semua kaum dalam sistem pendidikan telah cuba dipenuhi kerajaan sebaik mungkin. Belajarlah erti bersyukur daripada meminta-minta.

Tidak lupa juga kepada semua pelajar cemerlang SPM dan ahli keluarga mereka, janganlah sesekali anda kecewa jika gagal menyambung pelajaran ke luar negara. Sesungguhnya, anda masih memiliki satu sistem pendidikan yang bertaraf antarabangsa di universiti tempatan.

Percayalah kepada keupayaan universiti tempatan dalam memastikan kelangsungan pendidikan yang cemerlang kepada pelajar mereka. Mana tahu jika rezeki anda belajar di luar negara selepas ini. Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.

FIKRI JUMIRAN
Bangsar, Kuala Lumpur

Utusan Online

No comments: