Sunday, June 26, 2011

'Saya sedia bincang, jumpa dengan JPA'

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Prosedur punca 2 nakhoda dalam JKR: Judin

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Judin Abdul Karim menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mencari jalan bagaimana untuk menamatkan kontroversi ‘dua nakhoda’ dalam jabatan itu. Katanya, setakat ini belum ada pertemuan tertutup antara beliau dan JPA atau Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
“Kalau saya dipanggil (JPA untuk berbincang), saya akan pergi. Saya pegawai kerajaan, saya perlu patuh kepada arahan pihak atasan. Tetapi dalam isu pelantikan, (sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia atau CIDB) saya berhak menolak tawaran itu,” katanya.

Ketika ditanya alasan beliau menolak tawaran itu, sama ada disebabkan penurunan pangkatnya daripada Turus Tiga kepada JUSA C, Judin berkata, ia sesuatu yang kompleks kerana membabitkan prosedur pentadbiran kerajaan.

“Benda ini agak rumit dan membabitkan masalah prosedur. Jika diikutkan, tiada isu dalam perkara ini, tidak timbul ada dua Ketua Pengarah JKR kerana saya masih lagi Ketua Pengarah JKR yang sah,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Beliau mengulas mengenai usaha JPA yang merangka pelan penyelesaian yang dijangka dapat menangani isu berkenaan dengan syarat ia diterima pihak berkaitan.
Kemelut jawatan Ketua Pengarah JKR baru timbul apabila Judin dipinjamkan untuk mengisi jawatan Ketua Eksekutif CIDB pada 1 Mei lalu tetapi pada tarikh sama, Ketua Pengarah JKR yang baru, Datuk Mohd Noor Yaacob menjalankan tugas rasmi walaupun Judin enggan mengosongkan biliknya.

Sementara itu, Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata kementerian yakin isu berkenaan dapat diselesaikan secara ‘menang-menang’ untuk kebaikan semua pihak yang terbabit.

“Kita perlu sabar dan menunggu pelan yang dirancang JPA untuk menyelesaikan kemelut ini. Mereka ada tatacara untuk menanganinya,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerja Raya 2010 di perkarangan Pusat Konvensyen CIDB.

Sementara itu, Mohd Nor yang ditemui pada karnival itu berkata, setakat ini beliau belum dipanggil untuk sebarang pertemuan dengan Judin bersama JPA bagi membincangkan kemelut itu.

Sebaliknya beliau bertegas akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua Pengarah JKR seperti diarahkan JPA dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

“Buat masa ini, segala urusan jabatan dirujuk kepada saya. Tidak ada dua Ketua Pengarah di JKR. Saya menerima surat perlantikan itu dan saya perlu melaksanakan tanggungjawab saya seperti diarahkan pihak atasan,” katanya.



Berita Harian Online

No comments: