Wednesday, June 1, 2011

Syor CUEPACS isu bayar saman tak relevan

SAYA tertarik untuk memberi sedikit ulasan dan pandangan berkaitan cadangan Presiden Kesatuan Sekerja Dalam Sektor Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, baru-baru ini kepada ketua jabatan atau supaya majikan membayar saman trafik pemandu yang melanggar had laju ketika membuat tugas rasmi memandu kenderaan kerajaan.

CUEPACS berpendapat ia bertujuan untuk meringankan beban pemandu kenderaan kerajaan. Pada hemah saya kesalahan saman trafik memandu melebihi had laju boleh dielakkan jika pemandu kenderaan kerajaan memandu secara berhemah dengan mematuhi had yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan dalam negara ini. Sikap tergesa-gesa boleh dielakkan apabila seseorang pemandu atau ketua jabatan itu merancang segala kerja, termasuk waktu perjalanan berkereta ke sesuatu destinasi ketika menjalankan tugas rasmi mereka. Pemandu yang berpengalaman akan dapat memilih laluan pilihan pada waktu puncak bagi mengelak kesesakan trafik dan tidak memandu secara tergesa-gesa. Dalam konteks ini tidak perlulah ketua jabatan atau majikan dicadangkan melunaskan bayaran trafik yang berpunca daripada sikap pemandu itu itu sendiri.

Mengikut kajian 60 peratus punca kemalangan disebabkan pemandu memandu melebihi had laju yang sudah ditetapkan. Dalam konteks ini, tiada tolak ansur terhadap mana-mana pemandu kenderaan kerajaan untuk memandu melebihi had laju kerana mereka sepanjang masa adalah tertakluk kepada segala peraturan lalu lintas dan tidak kebal daripadanya.

Sekiranya ketua jabatan atau organisasi di tempat mereka bekerja bertindak membayar saman trafik atas kesalahan melebihi had laju yang ditetapkan, ia akan membawa imej dan reputasi terhadap kenderaan kerajaan yang boleh dipandu melebihi had laju serta kebal pula terhadap kesalahan lalu lintas kerana mereka dilindungi pihak majikan dan organisasi mereka.

Umum mengetahui bahawa wang kerajaan adalah dana rakyat yang diperoleh melalui hasil kutipan cukai yang dibayar oleh rakyat dan kenapa pula dicadangkan ia digunakan untuk membayar saman akibat kesalahan trafik yang boleh dielakkan.
Saya mahu mencadangkan supaya CUEPACS dapat membuat cadangan yang relevan berhubung tuntutan kepada pihak kerajaan. Dalam keadaan sekarang pihak kerajaan berhadapan dengan pelbagai kemelut kesan kenaikan bahan bakar dunia serta tekanan inflasi. Tarif elektrik juga sudah dinaikkan bagi maksud pengurangan subsidi walaupun tidak membabitkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

YOSRI ABU MAHSIN,
Kuala Lumpur.



Berita Harian Online

No comments: