Saturday, June 11, 2011

Kaunter bergerak 1JPJ di seluruh negara Ogos

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan perkhidmatan kaunter bergerak 1JPJ ke seluruh negara mulai Ogos ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan.

Katanya, kaunter bergerak itu akan dibuka di tempat awam terutamanya di pasar tani dan pusat membeli-belah pada setiap hujung minggu. Katanya, program perintis itu diadakan di Pasar Tani, Stadium Shah Alam, Selangor, bulan lalu dan sudah memungut bayaran saman sebanyak RM1,700 serta mendapat maklum balas menggalakkan daripada orang ramai. Solah berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Zon Semenanjung kepada 486 anggota JPJ di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hai ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga bulan lalu, Komuniti 1JPJ mempunyai seramai 20,934 ahli yang mendaftar melalui program mySMS 15888.

"Ia (mySMS) adalah alternatif atau medium komunikasi kepada pelanggan JPJ untuk memaklumkan tarikh tamat tempoh lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM)," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, 80 peratus pelanggan JPJ berurusan dengan jabatan itu secara atas talian.
Katanya, melalui inisiatif seperti mySMS dan 1JPJ itu, JPJ berharap bilangan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan atas talian meningkat kepada 90 peratus menjelang pertengahan 2012.


BERNAMA

No comments: