KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima laman web milik kerajaan dikenal pasti masih belum pulih akibat digodam oleh sekumpulan penggodam antarabangsa yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Anonymous', yang melancarkan 'Operasi Malaysia' bagi menyerang sistem komputer kerajaan sejak kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.
Antara laman web yang masih belum pulih akibat serangan itu ialah Tourism Sabah; Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia; Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD); dan laman web rasmi kerajaan iaitu www.malaysia.gov.my. Tinjauan Berita Harian ke beberapa laman web kerajaan sejak jam 9 pagi semalam, menunjukkan beberapa perkhidmatan menerusi sistem itu masih tergendala dan tidak dapat diakses dipercayai serangan penggodam. Laman web www.malaysia.gov.my bagaimanapun didapati pulih dan beroperasi seperti biasa pada jam 11.55 pagi. Bagaimanapun, empat laman web lagi masih belum dapat beroperasi seperti biasa.
Laman web yang membabitkan bidang kewangan dan keselamatan seperti institusi perbankan pula dilaporkan tidak menghadapi masalah.
Tinjauan ke kaunter agensi kerajaan di sekitar ibu negara pula mendapati ada beberapa urusan dengan pelanggan terjejas berikutan rangkaian internet tergendala dalam jangka masa satu hingga dua jam, semalam.
Antara agensi perkhidmatan yang terjejas adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Wangsa Maju dan Pejabat Pos Jalan Gurney yang mana lebih 40 pelanggan terpaksa menunggu sehingga dua jam sebelum urusan mereka dapat dijalankan.
Berita Harian difahamkan, gangguan teknikal terhadap rangkaian internet dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, namun ia kembali pulih dan beroperasi seperti biasa selepas itu sebelum bermasalah semula pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang.
Kerani Pejabat Pos Malaysia, Nashriq Mat Nor, 25, berkata sepanjang gangguan teknikal terjadi, operasi perkhidmatan seperti pembaharuan lesen, cukai jalan dan pembayaran bil tidak dapat dijalankan sehingga pelanggan terpaksa menunggu lama.
Malah, ada daripada mereka membatalkan urusan berkenaan.
”Operasi Pos Malaysia menggunakan sistem intranet dan jika rangkaian ini terganggu, ia akan mempengaruhi sistem operasi,” katanya.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment