KUCHING 22 Jun - Kerajaan negeri tidak pernah melakukan diskriminasi kaum atau pilih kasih dalam pengambilan penjawat awam di negeri ini sebaliknya memberikan hak sama rata kepada semua rakyat.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, dakwaan itu juga tidak tepat kerana pengambilan kakitangan dilakukan sendiri oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) negeri.
Katanya, jumlah masyarakat Cina yang kurang sebagai penjawat awam di negeri ini bukan kerana kerajaan pilih kasih namun ia disebabkan oleh faktor kurangnya permohonan daripada kaum berkenaan.
''Kurangnya masyarakat Cina sebagai penjawat awam adalah disebabkan mereka sendiri lebih berminat bekerja dalam sektor swasta," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya, di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika menjawab soalan David Wong Kee Woan (DAP-Pelawan) pada sidang DUN, Fatimah berkata, berdasarkan pecahan penjawat awam mengikut kaum, sebanyak 82.7 peratus adalah bumiputera diikuti 13.6 peratus bukan bumiputera manakala bakinya sejumlah 3.69 peratus adalah kaum lain.
Katanya, dari segi pecahan mengikut jantina pula, sebanyak 74.4 peratus kakitangan awam adalah lelaki manakala bakinya seramai 25.5 peratus pula wanita.
''Jumlah kakitangan awam di Sarawak ketika ini adalah seramai 22,134 orang merangkumi 14,272 pegawai yang bertugas di kementerian, 4,878 orang bertugas di badan-badan berkanun dan 2,984 orang lagi dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),'' ujarnya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment