YOSRI ABU MAHSIN
Kuala Lumpur
SAYA tertarik untuk memberi sedikit ulasan dan pandangan berkaitan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini kepada ketua jabatan atau majikan membayar saman trafik pemandu yang melakukan kesalahan trafik ketika membuat tugas rasmi memandu kenderaan kerajaan.
Menurut CUEPACS, cadangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban pemandu kenderaan kerajaan.
Pada hemah saya, kesalahan saman trafik memandu melebihi had laju boleh dielakan jika pemandu kenderaan kerajaan memandu secara berhemah mematuhi had yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan dalam negara ini.
Sikap tergesa-gesa boleh dielakan apabila seseorang pemandu atau ketua jabatan itu merancang segala kerja termasuk waktu perjalanan berkereta ke sesuatu destinasi ketika menjalankan tugas rasmi mereka. Pemandu yang berpengalaman akan dapat memilih lalu pilihan pada waktu puncak bagi mengelakan kesesakan trafik dan tidak memandu secara tergesa-gesa.
Dalam konteks ini, tidak perlulah ketua jabatan atau majikan dicadangkan melunaskan bayaran trafik ini yang berpunca daripada sikap pemandu itu itu sendiri. Mengikut kajian 60 peratus punca kemalangan adalah disebabkan pemandu memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan.
Dalam konteks ini, tiada tolak ansur terhadap mana-mana pemandu kenderaan kerajaan untuk memandu melebihi had laju kerana mereka sepanjang masa adalah tertakluk kepada segala peraturan lalu lintas dan tidak kebal daripadanya.
Sekiranya ketua jabatan atau organisasi ditempat mereka bekerja bertindak membayarkan saman trafik atas kesalahan melebihi had laju yang telah ditetapkan akan membawa imej dan reputasi terhadap kenderaan kerajaan yang boleh dipandu melebihi had laju serta kebal pula terhadap kesalahan lalu lintas kerana mereka dilindungi oleh pihak majikan dan organisasi mereka.
Umum mengetahui bahawa wang kerajaan adalah dana rakyat yang diperoleh melalui hasil kutipan cukai yang dibayar rakyat. Kenapa pula dicadangkan ia digunakan untuk membayar saman akibat kesalahan trafik?
Adalah dicadangkan kepada CUEPACS supaya dapat membuat cadangan relevan berhubung tuntutan kepada pihak kerajaan.
Dalam keadaan sekarang, kerajaan perlu berhadapan dengan pelbagai kemelut kesan kenaikan bahan bakar dunia serta tekanan inflasi.
Antara beberapa cadangan yang perlu dibuat CUEPACS supaya meng atasi beban kakitangan awam, misalnya memohon pihak kerajaan supaya mana-mana kakitangan awam yang menghuni kuarters supaya mereka membayar sewa kuarters tersebut mengikut kelas rumah yang berkaitan.
Misalnya bagi kelas E, sewa rumah adalah sebanyak RM200 sebulan, kerajaan membayar elaun sewa rumah kepada pegawai yang layak bagi gred rumah tersebut sebanyak RM250 adalah dicadangkan kepada pihak kerajaan supaya dapat memulangkan baki RM50 kepada kakitangan berkenaan. Tidak perlulah dipotong sehingga RM250 yang juga bermakna mereka membayar lebih sewa sepatutnya mereka bayar.
Adalah dicadangkan kepada CUEPACS supaya meneliti perkara seperti ini daripada membuat cadangan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi kakitangan awam dalam usaha kerajaan membuat transformasi bagi mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi pada masa ini.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment