Saturday, June 25, 2011

Ketua Pengarah Kerja Raya jawab isu kepimpinan di JKR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Ketua Pengarah Kerja Raya yang baharu, Datuk Mohd. Noor Yaacob mengesahkan bahawa sebarang urusan berkaitan Jabatan Kerja Raya (JKR) kini hanya dirujuk kepadanya.

Meskipun agak berat mulut untuk berbicara dengan media tentang isu kepimpinan di jabatan berkenaan, beliau berkata, tugasnya itu telah pun dijalankan sejak mula dilantik ke jawatan tersebut Mei lalu.

"Datuk Seri Judin Abdul Karim tidak kacau (masuk campur). Apa jua perkara berkaitan JKR akan dirujuk pada saya. Menteri (Kerja Raya), Datuk Shaziman Abu Mansor juga berhubung dengan saya.

"Saya pegawai kerajaan, orang suruh pindah, saya ikutlah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Kerja Raya sempena 60 tahun Kementerian Kerja Raya yang disempurnakan Shaziman di Kompleks Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.

Isu itu timbul apabila Judin dikatakan enggan keluar dari pejabat Ketua Pengarah JKR setelah menolak tawaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIDB.
Sementara itu, Shaziman berkata, sehingga kini tugas di jabatan berkenaan berjalan lancar tanpa masalah.

"Saya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik. Operasi jabatan berjalan lancar dan saya percaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempunyai mekanisme terbaik kerana sektor perkhidmatan awam di negara ini bukan baru," ujarnya.

Mingguan Malaysia turut cuba menghubungi Judin namun beliau enggan mengulas.
"Dalam keadaan ini saya tidak mahu bercakap dengan media. Harap anda faham. Apa pun, saya masih tidak menerima jemputan untuk berbincang dengan JPA. Tunggulah Isnin nanti," ujarnya.

Utusan Online

No comments: