Isu pemberian biasiswa: Y1M kemuka beberapa cadangan
09/06/2011 6:16pm
KUALA LUMPUR 9 Jun - Yayasan 1Malaysia (Y1M) menyambut baik kajian terhadap dasar pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan mengemukakan beberapa cadangan bagi mengurangkan kekecewaan pelajar dan keluarga mereka yang sering dikaitkan kepada soal perkauman.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Y1M, Dr. Chandra Muzaffar, berkata dalam satu kenyataan hari ini, setiap tahun isu biasiswa ini menimbulkan rasa gusar dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia dan ini mempunyai kesan negatif terhadap hubungan kaum.
YIM mencadangkan satu kajian semula dibuat terhadap skim permakahan dan penilaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang telah menyaksikan ramai pelajar mencapai gred A sejak beberapa tahun lepas.
"Bilangan yang ramai ini nampaknya tidak melambangkan kaitan dengan kemampuan dan kecekapan intelektual mereka. Sebaliknya, pemberian A yang berganda ini sedikit sebanyak telah menurunkan nilai gred itu sendiri.
"Ia juga memberi satu harapan kepada pelajar-pelajar ini tetapi apabila mereka gagal mendapat apa yang mereka fikir layak diterima, mereka akan kecewa," kata Chandra. - Bernama
Utusan Online
No comments:
Post a Comment