SAYA terpanggil untuk memberi pandangan berhubung isu pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang heboh diperdebatkan terutamanya oleh parti politik.
Saya bersetuju dengan pandangan Mohd Waffy Ismail, pelajar Ijazah Undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) yang disiarkan dalam ruangan Varsiti semalam. Sewajarnya pandangan beliau diperhalusi oleh Perdana Menteri dan Bahagian Modal Insan, JPA. Pemberian biasiswa secara automatik kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau dengan lebih tepat kepada yang memperoleh keputusan 8A+ perlu dikaji semula.
Pada asasnya pemberian biasiswa adalah untuk anak golongan berpendapatan rendah cemerlang dalam pelajaran, bagi membantu mereka mengubah kehidupan agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
Selepas memperolehi 8A dengan 6 agreget dalam SPM, saya ditawarkan menyertai program asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dengan biasiswa persekutuan.
Menyedari nasib anak orang kampung dan bukan keluarga senang serta persaingan hebat untuk biasiswa kerajaan, saya berusaha mencari penaja swasta.
Saya menghantar permohonan dan seterusnya ke peringkat temu duga. Malangnya nasib tidak menyebelahi saya dan mengisi borang permohonan pinjaman pelajaran JPA dan diterima.
Saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya kembali ke pokok pangkal diwujudkan biasiswa sebelum ini. Janganlah tunduk kepada permainan politik semata-mata demi memuaskan hati semua pihak yang menuntut sedangkan yang benar-benar berhak dinafikan haknya.
Berikan mereka tongkat untuk bertatih supaya apabila mampu berjalan sendiri nanti, mereka boleh menyumbang apa yang ada kepada agama, bangsa dan negara.
Mereka ini juga akan lebih menghargai peluang yang diberikan dan tidak sewenang-wenangnya menerima biasiswa tetapi akhirnya enggan pulang untuk berkhidmat di negara sendiri, lebih suka menadah hujan emas di negeri orang hingga lupa tangan yang pernah menyuap dulu.
AZNOR98,
Putrajaya
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment