Sunday, June 19, 2011

Jangan asyik minta bonus

YOSRI ABU MAHSIN
Kuala Lumpur
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Sektor Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dan menaikan elaun sara hidup diselaraskan kepada RM300 sebulan di semua tempat. Permintaan itu dipohon kepada Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2012.
Pada hemah saya dalam keadaan sekarang pihak CUEPACS perlu menyarankan kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti dan memastikan negara kita muncul sebagai negara maju pada tahun 2020, berbanding tuntutan untuk mendapatkan bonus dan kenaikan elaun sara hidup.

Tuntutan pihak CUEPACS berupa peruntukan kewangan adalah sesuatu yang sensitif dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu sekarang ini. Tuntutan ini didapati boleh merendah-rendahkan imej dan reputasi kakitangan awam.

Umum akan mendakwa bahawa kakitangan awam tiada kerja lain kecuali menuntut bonus dan elaun. Bagaimana pula nasib orang yang bekerja sendiri seperti penoreh getah, pesawah, petani, nelayan, pemandu bas, kereta sewa dan teksi? Mereka ini tiada gaji dan elaun sara hidup.

CUEPACS disarankan turut memperjuangkan perkara-perkara lain seperti kebajikan untuk kakitangan awam yang lain. Kurangkan tuntutan bonus dan elaun.

Kini Kementerian Sumber Manusia pula telah mengumumkan mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 yang dijangka dapat beroperasi pada tahun ini.

Penubuhan badan itu akan memberi impak kepada golongan pekerja berpendapatan rendah di negara ini apabila kadar gaji minimum mereka dapat dilaksanakan akhir tahun ini.
Kini kira-kira 34 peratus atau 350,000 pekerja sektor awam mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan dan tidak sesuai lagi dengan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat.

Sama ada kerajaan mahu memberi bonus atau sebaliknya adalah terpulang kepada kemampuan kewangan kerajaan dalam menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negara secara berhemah.

Adalah menjadi keutamaan kerajaan pada masa kini bagi mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Kakitangan awam disaran mencontohi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang berasa malu dan segan untuk meminta kepada pihak kerajaan berkaitan bonus dan tuntutan apa-apa elaun, tambahan kedudukan kewangan serta kemampuan kerajaan pada masa kini berada pada keadaan yang minimum.

Sebarang tuntutan mesti dapat dibuktikan melalui peningkatan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat di negara ini.

Tumpuan kakitangan awam sekarang ini perlu kepada meningkatkan produktiviti dan melakukan penjimatan terhadap aspek perbelanjaan harian. Sikap boros berbelanja akan mendorong kepada kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan yang akhirnya boleh membawa kepada tekanan inflasi yang tinggi.

Utusan Online

No comments: