KUALA LUMPUR 13 Jun – Tiada bukti kukuh berhubung salah guna kuasa pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses penawaran tempat dan biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk mengikuti Program Ijazah Luar Negara (PILN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan mendapati pelaksanaannya dijalankan secara telus dan teratur selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Januari 2009.
Justeru jelasnya, tiada tindakan akan diambil ke atas pegawai JPA ekoran dakwaan salah guna kuasa berhubung peruntukan tempat dan biasiswa bagi program berkenaan.
“Pemberian biasiswa JPA di bawah PILN sering menjadi isu disebabkan masyarakat kurang faham mengenai kriteria dan prinsip pemilihan calon walaupun usaha penerangan dilaksanakan melalui media, karnival pendidikan dan pameran di seluruh negara termasuk menerusi laman web JPA.
“Namun, masih berlaku salah faham dan tidak puas hati kalangan masyarakat terutama keluarga pelajar yang tidak ditawarkan penajaan ke luar negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan beberapa ahli Parlimen mengenai isu pemberian biasiswa bagi mengikuti pengajian ke luar negara menerusi PILN.
Ia termasuk soalan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) yang ingin tahu kenapa masih wujud masalah pemberian biasiswa dan tempat ke universiti bagi pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mohamed Nazri berkata, bukan bermakna kerajaan tidak telus apabila enggan mendedahkan nama penerima biasiswa JPA beserta markah yang diperolehi.
Sebaliknya beliau berkata, menjadi dasar kerajaan untuk tidak mendedahkan senarai penerima biasiswa dan markah merit yang mereka perolehi kepada umum untuk memelihara kerahsiaan dan hak individu tersebut.
“Sekalipun kita umum nama pelajar yang berjaya, ia tidak akan menjamin tiada pertikaian kerana pasti ada yang tidak berpuas hati. Jadi, lebih baik kita pastikan apa yang diputuskan hanya diberitahu kepada pelajar yang berjaya sahaja,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, terdapat juga masyarakat yang menyangka selain penajaan, JPA turut menawarkan tempat serta kursus pengajian.
“Pada hakikatnya, JPA hanya menawarkan penajaan manakala tempat kursus dan kursus bagi pengajian di matrikulasi dan universiti dalam negara ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi,” jelasnya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment