Wednesday, June 1, 2011

Biasiswa JPA: 86 dibiayai ke IPTS

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 1 Jun - Seramai 86 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan dibiayai untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan keputusan tersebut, pelajar berkenaan yang sebelum ini memohon untuk mendapatkan biasiswa JPA ke luar negara akan ditaja mengikut jurusan yang dipohon mereka di IPTS.

"Perdana Menteri dan Kabinet bersetuju untuk menempatkan mereka ke IPTS tempatan. Ia lebih menjimatkan berbanding kita membiayai mereka ke luar negara. Jika mereka ditempatkan ke IPTS tempatan, ia akan melibatkan kos sebanyak RM21.6 juta tetapi kalau ke luar negara, kosnya RM52.1 juta.

"Daripada 86 pelajar terbabit, tiga adalah Melayu, seorang bumiputera Sarawak, 71 pelajar Cina dan 11 lagi pelajar India," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, mengikut pecahan, seorang pelajar akan mengikuti pengajian dalam bidang pergigian di Universiti AIMST manakala dalam bidang perubatan 15 pelajar akan dihantar ke Monash University kampus Sunway, 18 pelajar (International Medical University) dan seorang ke Royal College of Medicine Perak.
Untuk jurusan kejuruteraan katanya, tujuh pelajar akan ditempatkan di Monash University kampus Sunway, 12 pelajar (Universiti Teknologi Petronas) dan 13 pelajar (Universiti Multimedia Malaysia).

Selain itu jelasnya, dua orang pelajar akan mengikuti jurusan sains di Monash University kampus Sunway manakala masing-masing dua pelajar akan ditempatkan di Universiti Multimedia Malaysia bagi jurusan ekonomi dan perakaunan.

"Bagi jurusan bioteknologi pula, kita akan menempatkan seorang pelajar di Monash University kampus Sunway, seorang dalam jurusan pengurusan perniagaan di University of Nottingham kampus Malaysia dan 11 lagi pelajar akan mengikuti bidang farmasi di Taylor's University College," ujarnya.

Katanya, selain isu penempatan pelajar berkenaan, Kabinet juga bersetuju untuk mengkhususkan penawaran matrikulasi mengikut bidang yang dipohon pelajar.
"Sebelum ini tawaran bagi bidang dalam matrikulasi adalah bersifat terbuka tetapi kali ini kita tetapkan bidang yang akan ditawarkan seperti matrikulasi pergigian dan sebagainya.

"Kabinet juga bersetuju untuk menawarkan tempat matrikulasi kepada pelajar yang memperoleh keputusan 8A+ yang sebelum ini ditawarkan mengikuti diploma," tambahnya.

Utusan Online

No comments: