Monday, June 6, 2011

Biasiswa JPA: Kenakan syarat tambahan

SHAH ALAM 6 Jun - Kerajaan diminta mengenakan syarat tambahan kepada pelajar yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan golongan itu kembali berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian di luar negara.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, syarat tambahan itu perlu sebagai syarat kelayakan kepada pelajar berkenaan bagi memastikan negara tidak kekurangan tenaga kerja profesional pada masa depan.

Melalui pengenalan syarat itu kata beliau, pelajar yang melanjutkan pelajaran di luar negara secara automatik diwajibkan pulang dan berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian mereka sama ada secara terus atau mengikut tempoh tertentu yang ditetapkan.

"Kita (GPMS Selangor) menyambut baik langkah kerajaan untuk mengenakan tindakan termasuk menetapkan supaya pelajar tajaan JPA yang enggan pulang ke tanah air membayar balik biasiswa.

"Keengganan pelajar ini sebenarnya merugikan negara daripada banyak sudut. Negara bukan sahaja rugi tenaga kerja profesional tetapi juga dari segi peruntukan kewangan besar yang diberikan kepada mereka.

"Justeru, kita cadangkan agar kerajaan tetapkan syarat tertentu kepada pelajar yang menerima biasiswa JPA ini seperti mewajibkan mereka kembali berkhidmat di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam bahawa JPA akan mengambil tindakan undang-undang termasuk bayaran balik biasiswa oleh para pelajar tajaannya yang enggan berkhidmat di negara ini selepas menamatkan pengajian di luar negara.

Menurut Mohamed Nazri, kebanyakan pelajar yang enggan pulang merupakan penuntut universiti di Eropah dan Amerika Syarikat dengan menerima biasiswa JPA berjumlah antara RM400,000 hingga RM1.2 juta setiap seorang.

Dalam pada itu, Mohd. Faizal tidak menolak kemungkinan keengganan pelajar yang menerima tajaan JPA itu untuk pulang mungkin kerana mahu berkhidmat di luar negara kerana gaji yang tinggi atau mahu mencari pengalaman bekerja.

Namun katanya, pelajar terbabit harus faham bahawa tanggungjawab kepada negara juga tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana kejayaan mereka adalah hasil pembiayaan yang diperolehi dengan titik peluh rakyat negara ini.

"Kerajaan telah banyak melabur kepada pelajar ini bagi melahirkan tenaga profesional untuk manfaat negara dan sewajarnya mereka berterima kasih dengan kembali untuk memajukan negara.

"Jika mereka enggan, wajarlah mereka bayar balik biasiswa tersebut agar boleh disalurkan semula kepada pelajar-pelajar lain yang sanggup berkhidmat di negara ini," ujarnya.

Utusan Online

No comments: