Thursday, June 30, 2011

Penjawat awam perlu hindari politik jalanan

KUALA LUMPUR 30 Jun - Penjawat awam disaran meneruskan perkhidmatan cemerlang di bawah jabatan masing-masing dan tidak terpengaruh dengan kumpulan politik jalanan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sebagai benteng negara, penjawat awam harus berfikiran panjang dalam membuat keputusan.

"Oleh kerana kita benteng negara, kita perlu berfikiran lebih 'institusi' dengan memahami institusi kita dari semua sudut," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di Istana Budaya di sini hari ini.
Seramai 811 penjawat awam dari 18 jabatan dan agensi kementerian menerima anugerah tersebut.

Jelas beliau, golongan itu perlu bijak dalam menentukan kecenderungan mereka dan tidak memilih kumpulan yang menggunakan keganasan dan demonstrasi jalanan untuk menarik perhatian orang ramai.

"Setiap apa yang perlu kita ikut perlulah berlandaskan demokrasi kita. Dalam hal ini, (landasan) Parlimen adalah terbaik," ujarnya.

Mengulas gesaan supaya gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada Datuk A. Samad Said dilucutkan berikutan penglibatannya dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Rais beranggapan bahawa keputusan mengenai perkara tersebut perlu berdasarkan pertimbangan pihak yang memberikan anugerah itu iaitu Panel Sastera.
"Sekiranya pihak yang menganugerahkan gelaran itu mendapati tindakan beliau (A. Samad) menentang kerajaan ataupun membuat perkara di luar undang-undang itu bertentangan dengan polisi penganugerahan gelaran itu, maka gelaran itu harus ditarik balik," tambah Rais.


Utusan Online

No comments: