SAYA kakitangan awam gred 41 amat menyokong kenyataan ‘Sang Algojo’ yang disiarkan di ruangan ini pada 30 Mei lalu.
Dalam krisis ekonomi yang menyaksikan kenaikan melampau harga barangan, semua rakyat terasa tempiasnya terutama penjawat awam termasuk pengurusan dan profesional serta tidak tertumpu kepada kakitangan awam gred 1 ke 40 saja.
Kami pihak pengurusan dan profesional selama ini mendiamkan diri menyaksikan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman yang terlalu memperjuangkan nasib penjawat awam sokongan semata-mata beliau daripada golongan sokongan.
Ketidakadilan kepada kumpulan pengurusan dan profesional seolah-olah menunjukkan kumpulan ini terutama gred 41 dianaktirikan, padahal golongan ini diamanahkan dengan tugas lebih besar berbanding kumpulan sokongan.
Sebagai contoh, di makmal hospital kerajaan, gaji kakitangan awam gred 41 lebih kecil berbanding gaji kumpulan sokongan gred 29 yang boleh menuntut elaun kerja lebih masa kerana kumpulan 41 tidak layak menuntut elaun lebih masa walaupun bertugas pada cuti umum dan hujung minggu demi kepentingan pesakit.
Tambahan pula tugas pengurusan dan profesional lebih mencabar berbanding kumpulan sokongan yang boleh dikatakan cabang tugas lebih kurang sama setiap hari.
Sepatutnya Presiden Cuepacs memperjuangkan sama rata nasib kakitangan awam dan tidak perlu timbul rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan sokongan yang asyik memperkatakan tangga gaji kakitangan kumpulan pengurusan lebih tinggi berbanding kumpulan sokongan kerana kumpulan sokongan perlu sedar kumpulan pengurusan memiliki segulung ijazah yang melayakkan mereka untuk berada di gred 41 dan ke atas.
Tidak keterlaluan jika dikatakan pada masa akan datang, generasi muda sudah tidak berminat menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan sarjana yang lebih tinggi kerana beranggapan dengan memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau segulung diploma sudah melayakkan mereka mendapat gaji dan elaun lebih tinggi berbanding yang diperoleh oleh generasi yang mempunyai ijazah.
Sedarlah wahai Cuepacs.
Kami daripada pengurusan dan profesional juga memerlukan pembelaan sama rata.
Buat Omar, jadi ketua yang adil yang memperjuangkan nasib rakyat sama rata dan bukan ketua yang mengamalkan sikap pilih kasih hanya untuk golongan tertentu.
AYUBELLEZZA
Muar, Johor
Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment