SELEPAS anak saya mendapat 12 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami gembira kerana insya-Allah dimudahkan cita-citanya mengambil jurusan perubatan. Kami membuat permohonan biasiswa secara online dan mendapati perlu memilih sama ada biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA). Kami memilih MARA kerana menyangka JPA terlalu banyak persaingan terutama daripada bukan Bumiputera dan terlalu banyak temu duga yang perlu dilalui.
Anak saya menghadiri temu duga di Shah Alam yang mana temu duga dijalankan secara berkumpulan. Mereka diuji membuat jambatan menggunakan spagheti tanpa ada sesi pengenalan diri. Itu amat mengejutkan kami, seakan-akan hanya mengambil syarat kehadiran dan senarai penerima biasiswa sudah ada dalam tangan mereka. Di manakah letaknya ketelusan? Ternyata telahan kami tepat, jawapannya ‘Maaf anda gagal’. Cubaan kami menghubungi MARA untuk mendapatkan punca kegagalan tidak berhasil berikutan tiada yang menjawab panggilan.
Anak saya kemudian ditawarkan ke Tamhidi Perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tetapi terpaksa memohon semula biasiswa Kementerian Pelajaran.
Berdasarkan kenyataan akhbar, semua pelajar 9A+ sepatutnya mendapat biasiswa secara automatik, termasuk untuk kursus asasi dalam negara.
Apabila ditanya kepada JPA, mereka berkata anak saya tidak layak memohon kerana sudah memilih membuat permohonan ke Program Ijazah Luar Negara (PILN) MARA sebelum ini.
Di manakah pembelaan untuk anak Melayu cemerlang, yang dibiarkan masuk matrikulasi dan dan dilupakan dan menerima segala-galanya sebagai takdir.
Saya bukannya meminta anak saya membuat kursus perubatan di luar negara. Apa yang kami kesalkan ialah kerana tiada pembelaan daripada JPA atau MARA.
Di mana lagi harus kami memohon untuk biasiswa pelajar cemerlang? Kami amat keliru dengan sistem pemberian biasiswa JPA dan MARA.
Kami berharap mendapat respons daripada MARA dan JPA dan bukan hanya sekadar jawapan melepas batuk di tangga.
BUDZ,
Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment