Thursday, June 30, 2011

8,196 kakitangan awam tidak hadir bertugas dikenakan hukuman

MELAKA 30 Jun - Sebanyak 8,196 kes kakitangan awam yang tidak hadir bertugas tanpa mengemukakan borang cuti, mendapatkan kebenaran atau memberi sebab munasabah dikesan berlaku sejak dua tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kes tidak hadir bertugas tanpa cuti, menyumbang sebanyak 40 peratus daripada kesalahan tatatertib bagi kakitangan awam.

Ekoran kesalahan tersebut, tegas beliau, mereka telah dikenakan hukuman lucut hak emolumen, buang kerja, denda dan amaran.

"Kesalahan tatatertib dalam kalangan penjawat awam (kakitangan awam) di negeri ini adalah serius khususnya kes tidak hadir tanpa cuti.

"Bagaimanapun, mereka yang terbabit telah dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Kursus Perintah Awam Penjawat Awam 2011 di Dewan Konvensyen Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM), Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Mohd. Ali berkata, kesalahan disiplin yang dilakukan oleh kakitangan awam telah menyebabkan tindakan terpaksa diambil terhadap mereka bagi menggelakkan ia menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau turut mengingatkan kakitangan awam agar tidak melakukan kesalahan disiplin sewaktu bertugas kerana pihaknya tidak akan berkompromi berkaitan perkara tersebut.
"Saya harap jangan ada antara kita yang melanggar amanah dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kerana penjawat awam menjadi duta kecil kepada kerajaan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui masih ada sesetengah kakitangan awam masih mengamalkan budaya lepak di kedai-kedai kopi atau restoran di waktu bertugas.
Ujarnya, budaya tersebut jika terus diamalkan boleh menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap kerajaan.

Utusan Online

No comments: