Thursday, June 16, 2011

51 laman web .gov.my digodam

Oleh Muzdalifah Mustapha
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sebanyak 51 laman web .gov.my digodam sejak semalam sehingga awal pagi ini menyebabkan 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap yang berbeza.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya bagaimanapun yakin tempoh untuk memulihkan kesemua laman web yang diserang itu tidak akan mengambil masa lama.

''Pemantauan kami mendapati serangan semakin kurang menjelang 4 pagi dan selepas membuat penilaian, kami menganggap kesan serangan itu terhadap pengguna di Malaysia adalah kecil," kata SKMM dalam kenyataan di sini hari ini.

Serangan itu berlaku ekoran satu kenyataan sebuah kumpulan luar negara dikenali Anonymous untuk menggodam laman web rasmi kerajaan www.malaysia.gov.my semalam, dengan alasan kononnya kerajaan mengenakan sekatan Internet.

Menurut suruhanjaya itu, terdapat cubaan menggodam beberapa laman web termasuk laman webnya sendiri iaitu www.skmm.gov.my pada 11.30 malam tadi tetapi gagal.

Jelas SKMM lagi, Pusat Keselamatan Rangkaian suruhanjaya itu bersama beberapa agensi lain, penyedia perkhidmatan dan pakar-pakar telah menjalankan usaha berterusan bagi memantau dan menyekat serangan itu.

Orang ramai diminta melaporkan sebarang maklumat yang mereka ada mengenai identiti penggodam itu kerana tindakan mengganggu perkhidmatan rangkaian adalah satu kesalahan serius.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel Datuk Husin Jazri berkata, pihaknya menerusi Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) mendapati serangan dalam tempoh 24 jam lalu itu berpunca daripada kawalan imbasan yang lemah dan cubaan menceroboh ke atas laman web tertentu.
Kata beliau, hasil siasatan, sasaran pihak terbabit adalah ke atas laman web milik organisasi tertentu dan kerajaan Malaysia dan ia dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa hari.

Menurut beliau, bagi serangan yang berjaya dilakukan ke atas mana-mana laman web boleh menjejaskan kerahsiaan, integriti maklumat dan bahan lain yang ada pada laman web berkenaan selain turut memberi kesan kepada aktiviti perniagaan sesebuah organisasi.

''Berdasarkan pemerhatian kami, sasaran penyerang adalah laman web yang lebih terdedah kepada orang awam atau aplikasi web yang terdedah kepada teknik serangan secara umum, mempunyai kata laluan yang lemah dan web yang tidak tersusun.
''MyCERT menasihatkan semua pemilik sistem supaya lebih berwaspada dan kerap memeriksa keselamatan laman web mereka,'' katanya dalam satu kenyataan.

Utusan Online

No comments: