Oleh Mohd Anwar Patho Rohman, Haspaizi Mohd Zain dan Lum Chee Hong
bhnews@bharian.com.my
Pemberian biasiswa ijazah luar negara dijalankan secara telus: Nazri
KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada bukti dapat mengesahkan pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan kesilapan atau terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dalam isu pemberian biasiswa JPA bagi mengikuti program ijazah luar negara (PILN). Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata tiada tindakan akan diambil terhadap pegawai JPA terbabit walaupun ada pihak mendakwa perkara itu berlaku.
“Tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pegawai JPA kerana tiada bukti menunjukkan berlaku kesilapan atau salah guna kuasa berikutan pelaksanaannya dijalankan secara telus dan teratur selaras dengan keputusan dibuat Jemaah Menteri pada 14 Januari 2009,” katanya.
Beliau menjawab soalan bertulis beberapa Ahli Parlimen berhubung isu pemberian biasiswa JPA pada soal jawab di Parlimen, semalam.
Antara Ahli Parlimen yang menimbulkan persoalan itu Nancy Shukri (Batang Sadong-BN), Datuk Seri Ong Ka Ting (Kulai-BN), Fong Po Kuan (Batu Gajah-DAP), Lim Guan Eng (Bagan-DAP) dan Anthony Loke Siew Fook (Rasah-DAP).
Menjawab soalan Siti Mariah Mahmud (Kota Raja-PAS), Nazri berkata, kerajaan tidak akan mendedahkan senarai nama penerima biasiswa dan markah merit yang diperoleh calon kepada umum demi memelihara kerahsiaan serta hak individu terbabit.
"Tidak menyiarkan (nama calon) bukan bermakna kerajaan tidak telus. Kalau umum nama (calon) dalam akhbar pun belum menjamin tidak akan ada lagi pertikaian. Pada saya lebih baik kita hanya memberitahu kepada calon yang layak menerima,” katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan bertulis Nancy, Nazri berkata, pelbagai isu yang timbul berhubung pemberian biasiswa JPA selama ini disebabkan kurangnya kefahaman masyarakat mengenai kriteria dan prinsip pemilihan calon.
Katanya, ada beberapa faktor menyebabkan ramai pelajar cemerlang tidak berjaya ditawarkan penajaan ke luar negara, termasuk pelajar cemerlang semakin bertambah serta penajaan yang terhad.
“Penawaran biasiswa mengikut markah keseluruhan yang diperoleh pelajar. Pelajar yang gagal ditawarkan biasiswa kerana memperoleh markah keseluruhan rendah mengikut kategori dan kriteria ditetapkan,” katanya.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment