Thursday, June 9, 2011

Cadangan Yayasan 1Malaysia tambah baik dasar pemberian biasiswa

KUALA LUMPUR: Yayasan 1Malaysia (Y1M) menyambut baik kajian terhadap dasar pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan mengemukakan beberapa cadangan bagi mengurangkan kekecewaan pelajar dan keluarga mereka yang sering dikaitkan kepada soal perkauman.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar, berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa setiap tahun isu biasiswa ini menimbulkan rasa gusar dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia dan ini mempunyai kesan negatif terhadap hubungan kaum. YIM mencadangkan satu kajian semula dibuat terhadap skim permakahan dan penilaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang telah menyaksikan ramai pelajar mencapai gred A sejak beberapa tahun lalu. "Bilangan yang ramai ini nampaknya tidak melambangkan kaitan dengan kemampuan dan kecekapan intelektual mereka. Sebaliknya, pemberian A yang berganda ini sedikit sebanyak telah menurunkan nilai gred itu sendiri.

"Ia juga memberi satu harapan kepada pelajar-pelajar ini tetapi apabila mereka gagal mendapat apa yang mereka fikir layak diterima, mereka akan kecewa," kata Chandra.

Beliau berharap satu kajian menyeluruh dijalankan terhadap konsep biasiswa itu sendiri supaya takrif biasiswa meliputi prinsip kecemerlangan akademik dan pencapaian dalam bidang pendidikan.

Bagi meningkatkan prestijnya, Chandra mencadangkan ia dinamakan "Biasiswa Yang di-Pertuan Agong" dan dikurniakan kepada tidak lebih daripada 100 pelajar.
Katanya, sebahagian besar daripada biasiswa ini hendaklah diberikan untuk pengajian dalam negeri dan selebihnya untuk pengajian di seberang laut dalam bidang-bidang yang tidak terdapat di negara ini.

Chandra berkata, pelajar yang mengikuti kursus vokasional dan teknikal juga harus diberikan biasiswa ini bagi menunjukkan bahawa kemahiran seperti ini amat penting kepada masa depan negara.

Selain keputusan SPM, katanya, kegiatan kokurikulum pelajar juga harus diambil kira dalam pemberian biasiswa itu manakala latar belakang sosio-ekonomi calon perlu diberi pertimbangan yang lebih.

"Pelajar miskin khususnya dari Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat, begitu juga pelajar Melayu dan bukan Melayu daripada golongan berpendapatan rendah di Semenanjung," kata Chandra.

Katanya, calon lain daripada kalangan kurang berkemampuan yang layak mengikuti program ijazah dan diploma perlu diberi bantuan dalam bentuk pinjaman pendidikan daripada kerajaan.

Chandra juga berharap rakyat mengubah pandangan terhadap biasiswa dan mengelak daripada melihat isu biasiswa ini semata-mata dari sudut perkauman.

"Cabaran hari ini ialah untuk mengagihkan secara adil satu sumber yang terhad sedangkan bilangan pemohon semakin bertambah," katanya.

Dalam soal ini, Chandra mengingatkan mereka yang diamanahkan untuk mengurus pemberian biasiswa ini supaya sentiasa berlaku adil kepada semua kaum.

Beliau berkata, jika berlaku pilih kasih, itu adalah satu perbuatan khianat terhadap negara.

"Pemohon yang hanya memikirkan tentang kepentingan sendiri harus juga sedar tentang kesan isu ini terhadap pihak lain.

"Seperti juga isu-isu lain, soal biasiswa ini mempunyai matlamat yang lebih besar. Dalam sebuah negara berbilang kaum, kesanggupan melakukan sesuatu yang di luar kepentingan kaum sendiri merupakan asas utama kepada keharmonian antara kaum," kata Chandra.



BERNAMA

No comments: