Thursday, June 30, 2011

Jangan terlibat himpunan Bersih

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 30 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan kakitangan kerajaan negeri supaya tidak terlibat dengan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan tegas.

Menurut Ahmad, beliau sudah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah agar memastikan tindakan diambil terhadap mereka jika bersama dalam perhimpunan haram yang lebih terarah kepada mencetuskan huru-hara.

"Kerajaan tidak akan berkompromi. Kita ada syarat dan peraturan yang tertakluk di bawah perintah am pentadbiran awam yang perlu sentiasa menjaga nama baik perkhidmatan sebagai seorang kakitangan kerajaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Majlis Minum Petang Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Hotel Permai di sini, petang semalam.

Menteri Besar berkata, perhimpunan haram itu boleh mencetuskan suasana huru-hara kerana kegagalan mengawal emosi akan mengakibatkan mereka yang terlibat bertindak merosakkan harta benda awam serta mencederakan orang lain.

"Saya berseru kepada rakyat yang mencintai keamanan dinikmati selama ini agar menjauhi perhimpunan sedemikian yang hanya semata-mata untuk menguji kesabaran kerajaan dan menguji peraturan sedia ada.

"Usaha yang didalangi parti pembangkang mengandungi muslihat dan kehendak tertentu di luar batas perundangan dan mungkin juga ada pengaruh negara asing atau 'orang luar' yang ingin mengambil kesempatan," kata beliau lagi.

Utusan Online

No comments: