Friday, June 3, 2011

Usah pertikai keputusan beri biasiswa pelajar cemerlang

BERSYUKURLAH dianugerahkan biasiswa sepenuhnya melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara. Ibu bapa pelajar hendaklah berterima kasih pada kerajaan yang prihatin untuk memberikan segala kemudahan dan jangan lagi ada bunyi suara sumbang rasa tidak puas hati selepas semuanya ditanggung pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Diharapkan parti pembangkang atau mana-mana pihak pula jangan cuba mengambil kesempatan mengapi-apikan orang ramai dalam hal pemberian biasiswa kerajaan ini kerana yang rugi nanti adalah pelajar kita yang cemerlang pada generasi akan datang juga. Ura-ura untuk ditiadakan biasiswa bagi pengajian di luar negara jika menjadi kenyataan akan merugikan semua pihak tidak kira apa bangsa atau status pelajar itu sendiri. Pelajar cemerlang SPM pada masa akan datang sudah tentu tidak lagi berpeluang mencapai segala impian mereka dan ibu bapa pula pasti kecewa untuk melihat anak-anak mereka keluar negara. Janganlah cuba jadi 'hero' membuat sesuatu tindakan bodoh yang merugikan diri dan bangsa sendiri. Ini bukan lagi perjuangan menang-menang tetapi sudah menjadi perjuangan yang sia-sia iaitu kalah-kalah. Belajarlah bersyukur.

SYED ABDULLAH,
Ampangan, Seremban.


Berita Harian Online

No comments: