SERDANG 13 Jun - Bangunan enam tingkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang bernilai RM61 juta yang turut menempatkan Balai Polis Kinrara, di Bandar Kinrara 5, Puchong dekat sini, siap dibina dan dijangka mula beroperasi pada Ogos ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, projek yang dilaksanakan syarikat pemaju BLT Sdn. Bhd. sejak 2007 itu akan menempatkan Bilik Gerakan, Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Komersial, Narkotik dan Cawangan Trafik di bawah satu bumbung.
"IPD baru ini dijangka mula beroperasi bulan Ogos ini, selepas mendapat sijil layak menduduki (CF).
"Projek tersebut turut dilengkapi 18 unit kuarters kelas F untuk keluarga anggota, kemudahan awam dan ruang pejabat yang kondusif untuk pengurusan, siasatan dan perhubungan dua hala dengan orang ramai," katanya selepas mengunjungi bangunan IPD baru itu, dekat sini baru-baru ini.
Tun Hisan berkata, dianggarkan seramai 800,000 penduduk di daerah Serdang akan menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan IPD baru ini.
"Seramai 640 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di bangunan ini yang melibatkan semua cawangan," katanya lagi.
Tambah beliau, jumlah kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan ditempatkan di bangunan baru itu diharap tidak dijadikan kayu pengukur menjamin keselamatan dan keamanan setempat.
"Apa yang penting, di daerah ini sebenarnya ada 800,000 'polis' yang sama-sama menyumbang khidmat masing-masing ke arah menjadikan Serdang sebagai daerah selamat dari jenayah," katanya lagi.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment