Monday, June 27, 2011

MARA guna kaedah baru saring calon PILN

KAMI merujuk kepada aduan Budz dari Taman Melawati pada 13 Jun lalu dan Basarudin Mansor dari Temerloh pada 15 Jun lalu, berhubung permohonan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2011.

PILN 2011 adalah program bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pemohon perlu memilih program di bawah MARA ataupun JPA. Pada tahun ini, MARA menerima kira-kira 8,000 permohonan dengan 2,700 didapati layak dan menepati syarat untuk sesi temu duga. MARA pada kali ini memperkenalkan ‘Spaghetti Bridge Exercise’ dalam kaedah saringan calon. Kaedah ini adalah ujian yang dapat menilai calon secara individu berdasarkan kerjasama berkumpulan, keterampilan dan keupayaan calon.
Dari segi pemarkahan juga, panel penemuduga menilai calon berdasarkan kad bernombor pelajar. Menerusi kaedah ini, penilaian adalah telus dengan identiti pelajar dirahsiakan daripada pengetahuan panel.

Ini menjelaskan MARA serius memastikan calon yang terpilih menepati kriteria berteraskan nilai kepemimpinan dan modal insan berprestasi tinggi yang bukan saja berilmu tinggi, yakin, inovatif dan kreatif tetapi mempunyai semangat juang kental serta personaliti unggul.

Pelajar yang tidak berjaya boleh mengemukakan rayuan kepada MARA. Namun, suka dijelaskan bahawa pertimbangan dan kelulusan tertakluk kepada dasar sedia ada MARA.

HASNI BINTI SULEIMAN, Pengarah Hal Ehwal Korporat
b.p. Ketua Pengarah MARA


Berita Harian Online

No comments: