Wednesday, June 1, 2011

Penerima biasiswa enggan pulang akan disaman

KUALA LUMPUR 1 Jun - Kerajaan melalui Pejabat Peguam Negara akan menyaman penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang enggan pulang untuk berkhidmat di tanah air selepas menamatkan pengajian di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jumlah penerima yang enggan pulang itu ada dalam senarai pejabat berkenaan yang telah diarah untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Jumlahnya ada. Kebanyakan yang enggan pulang adalah mereka yang menuntut dalam jurusan perubatan. Sudah tentu kita mahu mereka ini pulang (berkhidmat di tanah air). Tetapi, kalau tidak balik, kita kena (terpaksa) menyaman atas apa yang telah kita bayar (biasiswa) untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini.

Mesyuarat Kabinet hari ini antara lain memutuskan untuk membiayai 86 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal memperoleh biasiswa JPA, melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.
Kabinet juga memutuskan untuk mengkaji semula dasar pembiayaan biasiswa JPA yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, penerima biasiswa JPA di luar negara perlu pulang berkhidmat di tanah air memandangkan kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan yang mencecah jutaan ringgit untuk mereka.

"Justeru, mereka kenalah 'bayar' balik (berkhidmat). Cuba bayangkan untuk jurusan perubatan sahaja, lebih RM1 juta pembiayaan biasiswa telah kita sediakan.
"Ini melibatkan pembiayaan untuk jurusan itu di Ireland dan United Kingdom," jelasnya.

Utusan Online

No comments: