Sunday, June 5, 2011

Enggan pulang: Tindakan terhadap pelajar biasiswa JPA

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 5 Jun - Penuntut yang menamatkan pengajian di luar negara atas tajaan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi enggan pulang berkhidmat di negara ini bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan tersebut termasuk membayar balik wang biasiswa terbabit.

Tegasnya, Jemaah Menteri akan mengkaji berasaskan undang-undang sedia terhadap mereka yang berkhidmat di luar negara selepas menamatkan pengajian.

“Sewajarnya golongan itu patut mengenang budi kerajaan yang memberi biasiswa dan menghantar mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional tertentu di luar negara,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, kebanyakan yang enggan pulang merupakan penuntut di universiti di Eropah dan Amerika Syarikat dengan menerima biasiswa JPA berjumlah antara RM400,000 hingga RM1.2 juta setiap seorang.

Jelasnya, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM1.2 bilion untuk menaja 1,500 pelajar yang menuntut di luar negara sejak beberapa tahun lalu.

“Jika keputusan Kabinet dibuat tidak lama lagi, pelajar yang bekerja di luar negara dan berjaya dijejaki wajib membayar balik perbelanjaan berkenaan termasuk dikenakan faedahnya,'' tegasnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pendirian kerajaan untuk memutuskan dasar baharu dan keseluruhan sistem pemberian biasiswa JPA akan disemak semula berdasarkan merit, latar belakang sosioekonomi dan komposisi kaum termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Katanya, pemberian itu akan diperhalusi dan berasaskan peraturan bagi mengelakkan dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk dijadikan sebagai modal politik mereka. – Utusan

Utusan Online

No comments: