Saturday, May 14, 2011

Pemeriksaan percuma

Oleh Nadia Hamid

Ahli Kad Nur Sejahtera nikmati faedah mulai 1 Jun

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh menikmati pemeriksaan kesihatan percuma menerusi keahlian Kad Nur Sejahtera di 56 klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara, mulai 1 Jun depan. Kad berkenaan yang diberikan secara percuma kepada kumpulan sasar terutama penduduk tetap iaitu wanita reproduktif berusia 15 hingga 50 tahun dan lelaki yang tidak dihadkan umurnya dengan pendapatan isi rumah kurang RM5,000 dan bilangan anak tidak melebihi empat orang. Kumpulan orang awam lain pula dikenakan bayaran keahlian seumur hidup RM10. Pemohon boleh mendapatkan kad berkenaan di klinik tersenarai antaranya di ibu pejabat Jalan Raja Laut (KL); Kuching (Sarawak); Seremban, Negeri Sembilan dan di pejabat LPPKN Perak.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Noorul Ainur, berkata pemeriksaan kesihatan termasuk kaedah perancangan keluarga merangkumi IUCD, Implanon dan kondom; pakej kesejahteraan (tekanan darah, Indeks Jisim Badan (BMI), Glukos dan kolesterol, pap smear dan pemeriksaan payudara) dan perkhidmatan kaunseling keluarga atau individu.

“Nilai kad privilege percuma adalah antara RM115 hingga RM350 yang merangkumi pemeriksaan kesihatan saja. Namun, mereka perlu membayar andai memilih kaedah perancangan keluarga yang disenaraikan,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Keluarga Antarabangsa, di sini, semalam.

Selain itu, Dr Noorul berkata, pihaknya turut meningkatkan program termasuk memberi nasihat, meluaskan perkhidmatan klinikal di enam klinik di Sabah dan Sarawak, membekalkan enam pusat keluarga bergerak LPPKN 1Malaysia, latihan susulan kepada anggota klinikal serta meningkatkan peruntukan untuk kesihatan reproduktif 44 peratus bagi tempoh 2007 hingga 2010.



Berita Harian Online

No comments: