Monday, May 30, 2011

Kerajaan bimbang kesan negatif - Nazri

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Mei - Kerajaan bimbang kesan negatif yang mungkin dihadapi universiti tempatan sekiranya semua pelajar cemerlang dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana kerajaan juga mementingkan kualiti pendidikan tinggi yang perlu dicapai oleh universiti-universiti tempatan.

"Sekiranya semua pelajar cemerlang ini dihantar ke luar negara, apa jadi dengan universiti tempatan?

"Standard dan kualiti siswazah oleh universiti tempatan tidak akan meningkat dan itu tidak selari dengan dasar kerajaan yang mahu melihat universiti tempatan setanding dengan luar negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan menyemak semula kursus-kursus bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan menyenaraikan lebih banyak program profesional termasuk perubatan yang ditawarkan universiti dalam negara.

Mohamed Nazri berkata, sama ada semakan semula itu akan mengurangkan pelajar cemerlang dihantar ke luar negara atau tidak, ia tetap mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk kesan kepada bidang pendidikan tinggi tempatan dan kos.

"Seperti yang sedia maklum, kos untuk menghantar pelajar kita melanjutkan pelajaran dalam bidang kritikal seperti perubatan, farmasi dan kejuruteraan memang tinggi.
"Namun, pada masa sama, ada juga universiti tempatan yang mampu menawarkan program pengajian seperti itu dan kerajaan akan fikirkan langkah terbaik," katanya.

Utusan Online

No comments: