Saturday, May 14, 2011

Kementerian Pelajaran kaji kelas tambahan bahasa Inggeris

KUANTAN: Kementerian Pelajaran akan mewujudkan kelas tambahan bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan dan menengah sekiranya penguasaan pelajar sekolah terhadap bahasa itu dilihat masih tidak memuaskan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini, Kementerian Pelajaran sedang memantau tahap pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah. "Saya akan teliti perkembangan itu dari semasa ke semasa dan jika terdapat sebahagian besar pelajar masih lemah menguasai bahasa tersebut maka kita akan wujudkan kelas tambahan atau tuisyen yang akan diadakan pada setiap hujung minggu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini, hari ini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelbagai usaha dilakukan ketika ini termasuk mewujudkan program pembelajaran dengan menyediakan kurikulum, guru terlatih dan makmal bagi melihat penguasaan pelajar terhadap bahasa itu tercapai.

Beliau berkata, kementerian juga menempatkan 10,000 guru bahasa Inggeris di sekolah supaya sistem pembelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.

Mengulas kedudukan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Muhyiddin berkata, pihaknya masih belum mendapat kata putus daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan berhubung kedudukan mereka.

Katanya, ketika ini, kekosongan yang ditinggalkan GSTT akan diisi oleh kemasukan guru terlatih dari Institut Perguruan Malaysia (IPGM) yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran. - BERNAMA



Berita Harian Online

No comments: