Friday, May 6, 2011

Pelajar dapat 6A, 7A patut diberi biasiswa

KOTA BHARU 6 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta kerajaan supaya turut memberi biasiswa kepada pelajar bumiputera yang mendapat 6A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, bantuan itu penting untuk memastikan lebih ramai pelajar bumiputera berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Katanya, bantuan itu juga perlu diberi bagi memenuhi hak dan keistimewaan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Jika pelajar-pelajar ini menepati syarat A dalam empat subjek asas (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik) itu maka mereka berhak diberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM25,600 kepada 164 pelajar Parlimen Pasir Mas yang mencapai keputusan 7A ke atas dalam SPM 2010.

Kabinet kelmarin memutuskan semua pelajar SPM 2010 tanpa mengira kaum yang mencatat keputusan 8A dan ke atas akan diberikan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Ibrahim ketika mengulas keputusan tersebut menyifatkan ia sebagai satu bukti bahawa kerajaan Pusat menitikberatkan pembangunan modal insan di Malaysia.

"Perkasa mengalu-alukan keputusan tersebut yang memberi bantuan kepada semua pelajar tidak kira kaum demi pembangunan modal insan di negara ini.

"Bagaimanapun kerajaan perlu peka bahawa pelajar yang mendapat 6A dan cukup syarat juga layak untuk diberikan bantuan itu," tegas beliau.

Utusan Online

No comments: