Saturday, May 14, 2011

Sambutan CCSC luar jangkaan

Oleh Mohd Azis Ngah dan Nas Norziela Nasbah

171,736 dapatkan khidmat pemulihan sejak beroperasi Februari lalu

KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) yang menawarkan khidmat pemulihan kepada penagih dan penyalahgunaan dadah secara sukarela menerima sambutan luar jangkaan dengan 171,736 klien hadir sejak beroperasi 1 Februari lalu di seluruh negara. Sehingga 6 Mei lalu, purata 50 penagih mengunjungi pusat itu setiap hari di 27 CCSC seluruh negara yang dikendalikan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO). Perkhidmatan terbaru AADK itu disediakan di kawasan tumpuan utama atau kawasan panas dengan pelbagai masalah sosial terutama penyalahgunaan dadah. Sebelum ini, agensi itu menyediakan rawatan perubatan percuma melalui program Pemulihan & Prihatin 1Malaysia (P&P1Malaysia).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata rancangan itu akan diperluaskan ke kawasan FELDA menggunakan khidmat ahli RELA manakala anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) akan berfungsi di kawasan bandar.

“Masalah dadah tak kenal warna kulit, jadi semua pihak boleh bantu. Ahli politik terutama Barisan Nasional perlu lebih aktif dalam membantu konteks membina negara.

“AADK berusaha mencari pendekatan baru untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian lain untuk membina lebih banyak pusat seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan CCSC di Chow Kit, di sini semalam. Penubuhan CCSC cawangan Chow Kit itu dianggap strategik kerana mampu menarik minat ramai penagih sekitar Kampung Limau, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Tiong Nam dan Kampung Baru.

Pusat itu juga berjaya memujuk 83 pelanggan untuk mendapatkan rawatan susulan di Klinik P&P1Malaysia, Sungai Besi, dekat sini dan 37 yang lain dibantu mendapatkan pekerjaan.

Sejak Februari lalu, 1,858 klien mengikuti program sebagai residen di CCSC seluruh negara manakala bakinya lebih kepada mendapatkan khidmat pemulihan harian.

CCSC beroperasi dengan bantuan bekas penagih yang pulih sepenuhnya dan Yayasan Salam yang berpengalaman menyediakan kehidupan lebih baik kepada golongan terpinggir dalam bidang sosial, pendidikan, kesihatan dan kemahiran.

Hishammuddin berkata, aspek pemulihan dadah juga adalah fokus utama dalam kejayaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah terutama jenayah jalanan yang banyak membabitkan penagih dadah.

“Bilangan penagih yang menyertai program pemulihan meningkat 50 peratus daripada 15,736 orang pada 2009 kepada 23,642 orang tahun lalu. Ini membantu mengurangkan kadar jenayah jalanan 35 peratus atau 13,193 kes,” katanya.

Pada 2009, sebanyak 38,030 kes jenayah jalanan dilaporkan dan menurun kepada 24,837 kes tahun lalu. Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Datuk Zuraidah Mohamed yakin lebih ramai penagih akan datang mendapatkan rawatan di pusat baru itu yang turut beroperasi pada hari minggu.

Katanya, penubuhan CCSC di kawasan strategik itu memberi peluang kepada penagih ke tempat pemulihan paling dekat.



Berita Harian Online

No comments: