Monday, May 2, 2011

Suruhanjaya bagi penguat kuasa

Oleh Norfatimah Ahmad

Badan bebas untuk tangani hal jawatan, perkhidmatan agensi berkaitan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah yang bersifat bebas perlu ditubuhkan bagi memastikan hanya individu yang layak menganggotai agensi penguatkuasaan berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata menerusi penubuhan suruhanjaya seumpama itu, proses mengambil dan menghentikan kerja dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. “Kita menganggap penubuhan suruhanjaya seumpama itu satu keperluan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia dapat menangani masalah daripada segi kekangan jawatan dan perkhidmatan.

“Menerusi penubuhannya, suruhanjaya ini akan dianggotai panel yang berpengalaman dalam bidang rasuah, mungkin juga bekas pegawai kanan SPRM atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) sendiri seperti mana Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Perundangan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Hisham berkata, suruhanjaya ini juga akan lebih memahami kriteria untuk mengambil kakitangan dan pegawai di semua peringkat dalam perkhidmatan SPRM, sekali gus dapat memastikan mutu kerja yang berkualiti.

Katanya, suruhanjaya seumpama itu juga disaran supaya dapat melantik secara kontrak individu yang memiliki kepakaran tertentu seperti forensik perakaunan yang penting untuk mengesan sebarang bentuk penyelewengan dalam urus niaga tertentu.

Beliau berkata, ketika ini, SPRM perlu melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk pengambilan kakitangan sama ada secara kontrak sementara atau tetap dan proses itu mengambil masa lama.
“Ketika ini, SPRM terpaksa menggunakan khidmat asing untuk kepakaran forensik perakaunan atau pengauditan dan pengurusan kontrak bagi mengesan perbuatan yang membenarkan sebarang bentuk urus niaga rasuah dan di tahap ini ia memerlukan penelitian rapi kerana ia begitu kompleks, malah penting sebelum memulakan siasatan terperinci,” katanya.

Beliau berkata, cadangan ini juga akan membolehkan SPRM mendapatkan kepakaran pengambilan anggota dan pegawai daripada agensi penguatkuasaan lain seperti polis juga boleh dilakukan jika pihak berkenaan mempunyai kepakaran yang diperlukan SPRM.


Berita Harian Online

No comments: