YOSRI ABU MAHSIN
Kuala Lumpur
PENGUMUMAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan akan mengadakan mesyuarat membincangkan langkah-langkah atasi beban rakyat berikutan kenaikan harga barang dan perkhidmatan ekoran peningkatan harga bahan api dunia, jelas membuktikan keprihatinan kerajaan mengutamakan kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Usaha untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat berikutan kenaikan bahan api dunia perlu juga diambil tindakan proaktif oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan swasta yang terlibat membuat keputusan dalam pengurusan organisasi masing-masing, terutama yang melibatkan kebajikan serta saran sumber manusianya.
Beban yang dihadapi rakyat bukan boleh diselesaikan hanya melalui menaikan gaji dan elaun saraan semata-mata.
Pemberian kenaikan gaji kakitangan dan swasta memang berlaku setiap tahun. Pengumuman pemberian kenaikan gaji melalui pemberian peratusan yang tertentu akan turut menaikan harga barang-barang dan perkhidmatan.
Dalam konteks pekerja, sama ada disektor awam dan swasta, kenaikan pangkat akan melibatkan kenaikan gaji pokok dan elaun serta lain-lain kelayakan dalam gred baharu yang disandang.
Namun begitu kenaikan pangkat yang melibatkan pertukaran ke suatu stesen yang baharu melibatkan perpindahan rumah, persekolahan anak-anak serta penyewaan kediaman baharu melibatkan kos yang amat besar.
Sekiranya tidak melibatkan perpindahan rumah pula akan melibatkan kos berulang-alik ke tempat kerja yang baharu. Ini akan melibatkan kos tambang petrol, bayaran tol pengunaan masa yang perlu diatur semula.
Jarak tempat kerja dan rumah misalnya tidak dianggap ekonomik apabila melebihi 25 kilometer sehala.
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang terlibat membuat penempatan baharu pegawai yang naik pangkat perlu mengambil kira tempat tinggal kakitangan yang berkenaan serta memberi tempoh masa yang bersesuaian bagi melaksanakan pertukaran pegawai yang berkaitan.
Adalah tidak menjadi apa-apa faedah sekiranya kenaikan pangkat akan memaksa pegawai yang berkenaan berpindah dan lebihan gaji selepas kenaikan pangkat tersebut habis dibelanjakan terhadap kos bahan bakar, bayaran tol serta kos-kos lain yang berkaitan.
Sebagai pekerja, mereka dibayar upah sebagai saraan dan upah berkenaan digunakan sebagai perbelanjaan seharian. Jika mempunyai lebihan untuk ditabungkan sebagai penggunaan pada masa yang akan datang.
Dicadangkan kepada para majikan bagi mengkaji masalah ini melalui forum Majlis Bersama Jabatan (MBJ) bagi mengurangkan beban yang dihadapi oleh pegawai dan kakitangan awam dan swasta.
Dalam keadaan sekarang apabila bahan api naik akan mendorong kenaikan harga dan barang-barang perkhidmatan yang lain yang berkaitan. Misalnya makanan, pengangkutan, persekolahan dan perubatan.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment