Tuesday, May 17, 2011

Adukan masalah pusat tuisyen kepada kementerian

JOHOR BAHRU 17 Mei - Ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pusat-pusat tuisyen dan tenaga pengajar yang dirasakan berada di bawah piawaian boleh membuat aduan kepada Kementerian Pelajaran.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pusat tuisyen sepatutnya selari dengan silibus sedia ada di sekolah dan bukan tempat pelajar menghafal soalan peperiksaan tahun-tahun lepas.

"Pengusaha pusat tuisyen sepatutnya memberi tumpuan kepada kaedah pengajaran yang lebih inovatif dalam usaha memastikan pelajar menguasai sesuatu subjek.

"Saya sangat tidak setuju dengan pusat tuisyen yang hanya mengajar pelajar untuk menjawab kertas soalan peperiksaan yang sudah lepas," katanya ketika merasmikan sebuah pusat tuisyen di kawasan perumahan Setia Indah, di sini hari ini.

Jelasnya, pihak kementerian akan memantau operasi semua pusat tuisyen yang berdaftar namun ibu bapa juga harus menukar sikap dan tidak semata-mata mahu anak mereka mendapat banyak A tetapi lebih kepada berapa banyak ilmu yang mereka perolehi.
Sementara itu, Ka Siong yang mempengerusikan badan khas yang ditubuhkan oleh MCA untuk membantu pelajar Cina yang gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, beliau telah menerima beratus-ratus e-mel dan surat daripada ibu bapa dan pelajar.

"Saya memberi jaminan kepada mereka yang kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu namun masa diperlukan untuk memberi maklum balas terhadap setiap bantuan yang diharapkan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, pegawai kementerian terlibat bekerja siang dan malam untuk menjawab semua soalan yang diajukan dan sehubungan itu beliau berharap ibu bapa serta pelajar akan terus bersabar.

Utusan Online

No comments: