MACHANG 15 Mei - Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan sambutan Hari Pensyarah pada masa akan datang selain sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, walaupun kedua- dua profesion itu bertujuan mendidik anak bangsa namun kelebihan sering berpihak kepada guru sedangkan dalam sesetengah perkara pensyarah sewajarnya mendapat perhatian lebih baik.
Sehubungan itu, katanya, telah tiba masanya kerajaan melakukan transformasi kepada golongan pensyarah agar mendapat perhatian seperti yang dinikmati oleh warga guru.
"Apabila berlaku transformasi kepada golongan pensyarah ia bukan memperkecilkan jasa guru malah sempena Hari Guru esok, CUEPACS mengucapkan terima kasih atas segala bakti yang dicurahkan, namun golongan pensyarah juga seperti guru yang selayaknya mendapat perhatian.
"Selama ini kita hanya menyambut Hari Guru, justeru mulai tahun hadapan kerajaan diminta mengadakan sambutan Hari Pensyarah atau dikenali sebagai Hari Akademik khusus untuk golongan profesional ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog dan Pembangunan Kakitangan Pentadbiran bersama Rektor dan pengurusan kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini hari ini.
Omar menambah, antara perubahan yang dicadangkan kepada golongan pensyarah termasuk mengkaji semula gred kenaikan serta insentif lain."Selalunya para guru menerima khabar gembira setiap kali sambutan dibuat dan kita minta kerajaan juga akan mengumumkan khabar yang sama kepada golongan pensyarah dan mungkin pilih hari yang sesuai untuk meraikan mereka.
"Nasib guru sebenarnya jauh lebih baik kerana mempunyai lima persatuan tetapi kebajikan pensyarah bergantung kepada inisiatif institusi pengajian tinggi (IPT) itu sendiri di bawah Kementerian Pengajian Tinggi," ujarnya.
Berdasarkan kepada pelbagai kajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang dibangunkan oleh golongan pensyarah selama ini katanya, adalah wajar golongan itu diberi penghargaan sebaik-baiknya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment