Sunday, May 1, 2011

Akta gaji minimum dibentang di Parlimen

IPOH 1 Mei – Rang undang-undang Akta Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan bakal dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 yang berperanan mengkaji isu gaji minimum sektor swasta di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, akta itu jika diluluskan akan memberi kuasa untuk kerajaan membuat penyelarasan gaji minimum.
“Gaji minimum perlu diselaraskan termasuk di sektor swasta sejajar dengan kos sara hidup semasa yang meningkat.

“Kerajaan akan menetapkan gaji minimum dan ia perlu diikuti oleh sektor swasta,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Pekerja 2011 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyempurnakan majlis perasmian sambutan itu.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, kerajaan berharap kakitangan awam yang kini berjumlah 1.3 juta orang dapat meningkatkan produktiviti mereka supaya proses penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan dapat diberikan kepada rakyat.

Utusan Online

No comments: