Friday, May 13, 2011

Masih ambil GSTT berdasarkan waran perjawatan

KUCHING 13 Mei – Sarawak masih mengambil serta menggunakan khidmat Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) meskipun kerajaan memutuskan tidak menambah bilangan guru kategori itu bagi memastikan GSTT sedia ada dapat diserap menjadi guru sandaran terlatih (GST) terlebih dahulu selepas latihan ikhtisas.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Abdillah Adam berkata, keperluan untuk menempatkan GSTT di sesebuah sekolah bergantung kepada jumlah waran perjawatan yang diberikan kepada Jabatan Pelajaran Sarawak.

“Setakat ini, kita masih memerlukan GSTT dan jika ada kekosongan kita guna mereka dan kita akan minta kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam waran perjawatan yang telah diberikan kepada Jabatan Pelajaran,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Praperasmian Festival Hari Guru 2011 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdillah memberitahu, negeri ini juga berdepan masalah kekurangan guru tempatan bagi mata pelajaran Agama Islam di sekolah-sekolah dan terpaksa bergantung dengan khidmat guru agama dari Semenanjung untuk mengisi kekosongan tersebut.

Utusan Online

No comments: