Friday, May 6, 2011

Kementerian sertai Majlis Penjaja

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusangroup.com.my
KUALA LUMPUR 6 Mei - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan menganggotai Majlis Perwakilan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan ditubuhkan Julai ini.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, penyertaan itu bertujuan memastikan kebajikan dan masa depan golongan terbabit sentiasa terbela.
Ini kerana, kata beliau, majlis itu bukan sahaja akan menjadi saluran kepada penjaja dan peniaga kecil untuk menyuarakan sebarang rungutan mahupun idea-idea mereka kepada kerajaan, sebaliknya lebih daripada itu.

Beliau berkata, majlis itu diharap mampu mewujudkan komunikasi dua hala antara pihak berkuasa dan penjaja serta peniaga termasuk membincangkan permasalahan yang dihadapi.
"Ia juga diharapkan dapat meningkatkan imej golongan ini kerana mereka juga merupakan penyumbang kepada ekonomi negara," katanya selepas majlis makan tengah hari sempena sambutan Hari Pekerja anjuran Persatuan Penduduk Bangsar Baru (PPBB) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Amin Nordin Abdul Aziz, Pengerusi PPBB, Datuk George Joseph serta kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada pekerja pelbagai agensi yang berkhidmat di kawasan itu.
Raja Nong Chik yakin penubuhan majlis itu dapat membantu menghidupkan semula perniagaan penjaja dan peniaga kecil di beberapa buah pusat penjaja di bawah kendalian DBKL yang didakwa merosot.

Sementara itu, beliau memuji usaha PPBB menganjurkan majlis makan tengah hari itu yang disifatkan sebagai langkah mengeratkan lagi hubungan dengan pekerja pelbagai agensi yang berkhidmat di kawasan Bangsar Baru.

"Ia perlu dicontohi persatuan lain bagi memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih dan indah,'' katanya.

Mengenai isu kekurangan tempat letak kereta di Bangsar, beliau berkata, dalam masa terdekat ini, tidak ada jalan penyelesaian kepada masalah itu.

"Masalah ini sebenarnya lebih bergantung kepada tahap kesedaran masyarakat terhadap penggunaan pengangkutan awam," katanya.

Utusan Online

No comments: