Thursday, May 12, 2011

Cair semula wang 62 kastam

SPRM pertimbang lepaskan akaun anggota KDRM disiasat Operasi 3B

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia mempertimbangkan untuk mencairkan wang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dibekukan dalam Operasi 3B, kata Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull. “Buat permohonan kepada kita. Kita akan tengok dan kaji perkara ini. Kalau tak ada kaitan dengan kes kita akan pertimbangkannya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. Beliau berkata, siasatan berhubung operasi 3B yang dijalankan bagi menyiasat kegiatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan pegawai kastam juga masih diteruskan.

Mohd Shukri berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Presiden Kesatuan Kastam Semenanjung Malaysia (KKSM), Ibrahim Ahmad yang mahu SPRM memulangkan wang anggotanya dalam akaun bank yang dibekukan.

April lalu, 62 kakitangan Kastam ditahan dalam operasi 3B oleh pasukan siasatan khas yang diketuai SPRM sejak 28 Mac lalu selepas dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Sementara itu, Ibrahim yang ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamsiah Abu Bakar, di sini semalam, berkata pihaknya sangat berharap wang pegawai kastam yang dibekukan akan diberikan kembali.
“Kita minta jasa baik SPRM untuk menimbang dan melepaskan akaun yang dibekukan terhadap beberapa pegawai berkenaan yang membuktikan mereka tiada kesalahan dan wang mereka adalah dari Jabatan Perkhidmatan Awam, wang pencen, ‘golden hand shake’,” katanya.

Ibrahim berkata, SPRM juga dijangka bertemu dengan pengurusan tertinggi kastam untuk berbincang bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah terbabit.


BERNAMA

No comments: