Saturday, May 28, 2011

Pangkalan Udara baharu Tentera Udara Diraja Malaysia di Sendayan

TAMPIN 28 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kawasan Sendayan sebagai pangkalan baru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi yang akan ditutup tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata, maklumat lengkap mengenai pemilihan Sendayan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Seremban itu akan diumumkan kelak.

‘‘Pangkalan ini akan dibina di Sendayan dekat Seremban. Saya akan umumkan maklumat terperinci berkaitan dengan projek itu kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah bersetuju untuk menyerahkan Pangkalan Udara Kuala Lumpur itu kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk pembangunan komersial.
Pembangunan itu nanti akan melibatkan kawasan penginapan, komersial dan rekreasi yang juga meliputi perpustakaan, taman awam dan dataran riadah.

Akhbar hari ini melaporkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud sebagai berkata, lokasi pangkalan udara baharu bagi menggantikan Pangkalan Udara Kuala Lumpur telah dikenal pasti.

Rodzali berkata, bagaimanapun beliau tidak boleh mendedahkannya kerana kontrak mengenainya hanya akan ditandatangani pada pertengahan bulan depan.

Menjawab satu soalan lain berhubung pemansuhan jawatan-jawatan kosong serta pembekuan pengambilan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula Jun ini, Najib menjelaskan, ia dibuat untuk merasionalisasikan keperluan tenaga kerja tersebut.

Utusan Online

No comments: