Sunday, May 15, 2011

Lebih 150 kadet PTD tamat kursus

TAMPIN 15 Mei – Lebih 150 kadet pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang menyertai kumpulan Perajurit Muda Sukarela (Khas) Siri 1/2011 berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (Khas) di Kem Syed Sirajuddin di sini, hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Mejar Jeneral (Kehormat) Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, program latihan Askar Wataniah yang julung kali disertai kumpulan itu pada tahun ini merupakan satu kurikulum Diploma Pengurusan Awam (DPA) bagi pegawai PTD di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

“Kursus yang disertai oleh kadet PTD ini dikendalikan oleh Program Pembangunan Profesional, Intan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pasukan Simpanan Tentera Darat.
“Selain modul latihannya sendiri, Intan juga akan turut menerapkan modul kursus perkhidmatan berpakaian seragam lain seperti Bomba dan Penyelamat di samping Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Abu Bakar berkata kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (Khas) Siri1/20011, Modul Disiplin dan Ketahanan Diri (Wataniah), Diploma Pengurusan Intan Bil.2/2010 Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (Kehormat) Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad; Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad.

Kata Abu Bakar, antara aspek yang akan diberikan penekanan meliputi elemen patriotisme, ketahanan psikologi, keutuhan disiplin dan jasmani yang cergas sesuai untuk diikuti oleh kakitangan awam.

Ujar beliau, program latihan Askar Wataniah itu kelak akan diperluaskan ke kementerian lain secara berperingkat-peringkat.

Utusan Online

No comments: